LONDON:Saintis dan pakar kesihatan Britain menjelaskan, varian baharu yang menular di London dan Tenggara England boleh meningkatkan kes baharu COVID-19 di negara itu secara mendadak.

Mereka berpandangan bahawa prosedur operasi standard (SOP) akan memainkan peranan penting dalam mengekang penularan varian baharu virus itu.

Bekas Ketua Penasihat Saintifik Kerajaan UK, Mark Walport berkata, penularan varian baharu COVID-19 yang dikesan di UK akan bergantung kepada keberkesanan penjarakan fizikal orang ramai.

"Sayangnya, virus ini sama sekali tidak mempunyai emosi apa pun. Ia berubah dan perlu berubah sebagai tindak balas terhadap varian baharu ini, strain baharu akan muncul.

“Ini adalah sekatan yang sesuai. Varian baharu lebih mudah tersebar tetapi ada berita baik, nampaknya setakat ini ia tidak menyebabkan pesakit parah, yang mana ini sangat penting.

“Setakat yang kita tahu pada tahap ini, vaksin masih akan berkesan terhadapnya. namun ini adalah waktu yang sukar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Exeter, Dr Bharat Pankhania berkata, semua pihak perlu mengambil tindakan segera berbanding tindakan kurang aktif sebelum ini.

"Kita telah mengetahui sejak beberapa lama bahawa ia sedang menjadi varian baharu dan akhirnya kita nampak reaksi hari ini.

“Orang seperti saya dan ramai kawan-kawan saya telah menyatakan sejak sekian lama mengenai varian baharu, lebih mudah dijangkiti, buktinya kes semakin meningkat dengan cepat dan kita perlu mengambil langkah segera.

“Kita selalu mengejar dan bukannya bertindak balas, bertindak dengan cepat seperti sepatutnya,” tegasnya.

Bagi Penasihat Ketua Saintifik UK, Patrik Vallance, terdapat kemungkinan varian baharu itu telah menular sejak September.

"Varian baharu ini tidak hanya bergerak cepat, ia juga meningkat dari segi kemampuannya untuk menular, tetapi juga menjadi varian yang dominan. Ini mengalahkan semua yang lain dari segi penularan. Jadi virus ini menular dan tersebar dengan cepat," jelasnya.

Dalam pada itu, Konsultan Penjagaan Rapi Pediatrik, Dr Simon Nadel berkata, beliau menjangkakan peningkatan kes baharu selepas musim perayaan Krismas.

"Sekiranya kita mengambil pelajaran dari apa yang berlaku di Amerika Syarikat semasa Thanksgiving, kita dapat melihat bahawa mereka telah mengalami peningkatan besar dalam jumlah kes mereka pada minggu-minggu selepas Thanksgiving.

“Saya rasa kita boleh menjangkakan untuk melihat perkara yang sama selepas Krismas," katanya.

Sejumlah negara EU telah menghentikan penerbangan dari UK berikutan ancaman virus baharu.