Skip to main content

Dunia

AS dakwa dua warga India dalam sindiket ubat tiruan

Ubat tiruan itu dipercayai diperoleh daripada sumber yang tidak dibenarkan di China. - Gambar hiasan/REUTERS
Ubat tiruan itu dipercayai diperoleh daripada sumber yang tidak dibenarkan di China. - Gambar hiasan/REUTERS
Advertisement

HYDERABAD: Dua warga India didakwa di Amerika Syarikat (AS) berhubung sindiket pengedaran ubat preskripsi tiruan antarabangsa. 

Seorang daripada tertuduh, Swapnadip Roy, 33, diekstradisi dari Itali dan hadir buat kali pertama di mahkamah di Tampa, Florida, pada Selasa, manakala Vicky Ramancha, 37, masih bebas, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.

Menurut pertuduhan, kedua-duanya didakwa menjual Ozempic tiruan, ubat yang digunakan bagi menurunkan berat badan, kepada pengedar di AS pada harga jauh lebih murah antara Julai 2023 hingga April 2024.

Advertisement

Ubat tiruan itu dipercayai diperoleh daripada sumber yang tidak dibenarkan di China.

Jabatan Kehakiman berkata produk Ozempic tiruan yang didakwa diedarkan Roy, Ramancha dan rakan subahat mereka turut menggunakan pembungkusan, risalah maklumat, label pen suntikan dan jarum tiruan.

Advertisement

Ia didakwa bertujuan memperdaya pelanggan supaya mempercayai bahawa mereka membeli Ozempic tulen yang diluluskan oleh pengeluar.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Pejabat Siasatan Jenayah Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA OCI).

“Pejabat kami tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang mencemarkan rantaian bekalan farmaseutikal negara,” kata Penolong Peguam AS bagi Daerah Tengah Florida Christopher Murray.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement