Skip to main content

Dunia

DAP kecam undang-undang baharu Israel guna hukuman mati terhadap rakyat Palestin

41539824338_PKasthuriraani.jpg
Kasthuri berkata, pengumuman itu mencetuskan gelombang kebimbangan dan kutukan dari seluruh dunia memandangkan Israel masih giat meneruskan usaha pembunuhan beramai-ramai dan genosid terhadap rakyat Palestin. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengecam undang-undang baharu di Parlimen Israel (Knesset) yang membenarkan pelaksanaan hukuman mati terhadap rakyat Palestin.

Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP Kasthuri Patto dalam satu kenyataan pada Rabu berkata undang-undang itu bersifat kejam, primitif, tidak berperikemanusiaan dan merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia yang mesti dikecam semua pihak.

Advertisement

“Israel tidak boleh dan tidak harus dibenarkan untuk terus membuas dan melakukan keganasan tanpa sebarang tindakan di peringkat global.

“Penggunaan hukuman mati terhadap rakyat Palestin adalah seumpama pembunuhan di luar proses kehakiman (extrajudicial killings) dan boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

“Sudah tiba masanya untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan di atas jenayah perang termasuk sekali mereka dan sistem yang wujud untuk melindungi penjenayah perang,” katanya.

Menurut Kasthuri, tindakan tidak berperikemanusiaan itu bertujuan mengasingkan dan menindas rakyat Palestin dengan menggunakan hukuman mati, selain mewujudkan suasana ketakutan.

“Israel, dengan dasar aparteid dan pendudukan, yang diperkukuhkan oleh ideologi Zionisme yang semakin menggila, sedang merentangkan konsep ini daripada sebuah gerakan nasionalis kepada tindakan menghalalkan pembunuhan rakyat Palestin melalui penggunaan hukuman mati sebagai senjata,” katanya.

Kasthuri berkata DAP berdiri bersama parti-parti politik progresif yang lain dalam mengecam penggunaan hukuman mati di Israel dan di seluruh dunia, khususnya sebagai alat politik untuk menakut-nakutkan pembela hak asasi manusia.

“Ia merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan kami (DAP) menyeru pemimpin dunia yang memperjuangkan nilai sejagat seperti keadilan sosial, kebebasan, kesaksamaan dan keamanan untuk mengenakan sekatan terhadap Israel di atas keganasan terancang ini,” katanya.

Pada Selasa, Knesset meluluskan undang-undang baharu yang membenarkan kerajaan Israel menggunakan hukuman mati terhadap rakyat Palestin, terutamanya penduduk Tebing Barat yang telah dipenjarakan dan disabitkan dengan tuduhan serangan pengganas.

Penjara Israel Prison Service (IPS) memulakan kerja-kerja infrastruktur untuk pelaksanaan hukuman mati walaupun rang undang-undang itu baru sahaja diluluskan dan tiada sebarang pengecualian dinyatakan untuk kanak-kanak didalam tahanan.

“Walaupun hakim boleh memilih untuk memberikan hukuman penjara seumur hidup di bawah keadaan istimewa atau ‘special circumstances’ namun disebabkan takrifan undang-undang yang kurang jelas, akan menyebabkan hukuman mati terus digunakan.

“Hukuman mati di Israel menggunakan kaedah menggantung dan dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas hukuman dijatuhkan dan rakyat Palestin tiada hak mahupun ruang untuk rayuan.

“Rakyat Israel dibicarakan di mahkamah sivil manakala kes rakyat Palestin dirujuk ke mahkamah tentera,” menurut kenyataan itu.

Kasthuri berkata, pengumuman itu mencetuskan gelombang kebimbangan dan kutukan dari seluruh dunia memandangkan Israel masih giat meneruskan usaha pembunuhan beramai-ramai dan genosid terhadap rakyat Palestin.

“Dalam era ini, dalam dunia multipolar, ketika konsep peperangan lebih menarik daripada konsep keamanan, hak asasi manusia serta ekosistem dan infrastruktur yang melindungi, memelihara dan menjunjungya semakin terhakis,” katanya.

Beliau menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terikat dengan instrumen hak asasi manusia supaya mengecam Israel atas pencabulan hak asasi manusia yang serius serta penggunaan hukuman mati sebagai senjata terhadap warga Palestin.

Kasthuri berkata Israel merupakan negara ahli kepada konvensyen hak asasi manusia seperti Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah Konvensyen (CAT), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Protokol Opsyenal kepada Konvensyen tentang Hak Kanak-Kanak berkenaan dengan Pelibatan Kanak-Kanak dalam Konflik Bersenjata, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) antara konvensyen yang lain.

“Walaupun telah meratifikasi konvensyen-konvensyen ini, Israel terus berada di teras pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan.

“Apa yang diperlukan kini adalah pelaksanaan sekatan bersasar terhadap Israel, akses kepada maklumat serta lawatan melalui misi pencarian fakta (fact-finding mission) di Israel, dan negara-negara lain harus mengemukakan aduan rasmi dibawah konvensyen masing-masing secara berperingkat,” katanya.

Memetik laporan Israeli Information Center for Human Rights in the Occupied Territories (B’Tselem), Kasthuri berkata pada Disember 2025, seramai 9,128 rakyat Palestin ditahan atas alasan “keselamatan negara”, termasuk 1,477 dari Semenanjung Gaza.

“Seramai 351 kanak-kanak Palestin turut ditahan dengan pertuduhan yang palsu dan direka-reka dan 168 daripada mereka ditahan tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan dengan niat untuk mengekang dan menindas.

“Penjara Israel juga terkenal dengan amalan penyeksaan yang amat teruk dan kanak-kanak juga didapati mempunyai kesan-kesan penderaan langsung membuktikan penderaan kanak-kanak wujud dipenjara Israel,” kata Kasthuri.

Persatuan Hak Sivil di Israel (Association for Civil Rights in Israel) mengumumkan bahawa mereka akan memfailkan petisyen di mahkamah dengan hujah bahawa Knesset tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang ini terhadap warga Palestin di Tebing Barat kerana Israel tidak mempunyai bidang kuasa secara rasmi di wilayah terbabit, dan menurut undang-undang antarabangsa yang berkaitan—kuasa perundangan terletak pada komander tentera.

-- BERNAMA

Must Watch Video