Datuk Bandar Las Vegas, Carolyn Goodman menggesa Gabenor Nevada Steve Sisolak untuk membuka semula semua jenis perniagaan yang ditutup akibat pandemik COVID-19.

Menurut Goodman, tindakan menutup semua perniagaan bukan keutamaan di bandar itu sebagai langkah “gila.”

“Pada pandangan saya, penutupan ini antara langkah gila kerana tiada sokongan data kenapa kita perlu menutup perniagaan sedari awal.

"Tiada rancangan bagaimana kita perlu harungi perintah kawalan pergerakan ini atau bagaimana untuk bebas daripadanya,” kata Goodman ketika mesyuarat majlis bandar raya pada Rabu.

Goodman mendakwa telah berhubung dengan pakar yang mencadangkan bahawa kini masanya untuk buka semula bandar ini, lapor portal The Hill.

“Kita tidak boleh berdiam diri dengan harapan ini akan berlalu pergi.

"Kita orang dewasa yang dikurniakan akal yang tahu basuh tangan dan mengambil langkah perlu untuk tidak menyebarkan lagi penyakit ini," kata Goodman.

Tambahnya, penutupan perniagaan di Las Vegas kini telah pun 'membunuh' kita semua.

“Lagi lama kita tunggu, lagi mustahil untuk kita kembali pulih dan kembali kepada suasana selesa kita dahulu,” kata Goodman.

Pada 1 April, Sisolak mengarahkan penduduk tinggal di rumah dan menutup semua perniagaan bukan keutamaan dan sekolah di Nevada hingga hujung bulan ini.

Setakat Khamis, sejumlah 3,321 penduduk di Nevada diuji positif COVID-19 dengan 137 meninggal dunia.

Satu kajian terbaharu oleh Oxford Economics menunjukkan Nevada dan Florida antara negeri paling teruk terjejas ekonomi akibat pandemik ini susulan penggantungan aktiviti pelancongan.

Bandar itu dijangka mengalami deficit hampir AS$150 juta sepanjang 18 bulan mendatang akibat penutupan perniagaan di situ.