JAKARTA: Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) Indonesia merekodkan defisit sebanyak 196.5 trilion rupiah (Rp1 juta = RM228.40), bersamaan 0.76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pada akhir separuh pertama 2026.
Menteri Kewangan, Purbaya Sadewa berkata, defisit itu kekal terkawal berikutan pertumbuhan kukuh hasil kerajaan, perbelanjaan yang produktif serta pengurusan pembiayaan yang berhemat, sekali gus terus menyokong kedudukan fiskal negara.
"APBN berada pada kedudukan yang baik, bersifat mengembang dan terus menyokong pembangunan," katanya pada sidang media mengenai APBN edisi Julai yang disiarkan secara langsung menerusi YouTube, pada Selasa.
Purbaya berkata, APBN turut merekodkan lebihan imbangan primer sebanyak 85.1 trilion rupiah, mencerminkan kedudukan fiskal Indonesia yang kekal kukuh.
Sehingga akhir Jun, katanya, hasil negara meningkat 21.4 peratus tahun ke tahun kepada 1,459.4 trilion rupiah, manakala perbelanjaan negara naik 17.8 peratus kepada 1,656 trilion rupiah, membolehkan belanjawan terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta pelaksanaan agenda pembangunan nasional kerajaan.
Beliau berkata, prestasi fiskal terus mengukuh pada separuh pertama 2026 apabila hasil negara meningkat daripada 574.9 trilion rupiah pada akhir Mac kepada 1,459.4 trilion rupiah pada akhir Jun, manakala perbelanjaan terus dioptimumkan bagi menyokong program keutamaan kerajaan.
Purbaya turut menolak kebimbangan pasaran terhadap defisit belanjawan dengan menjelaskan bahawa sesetengah peserta pasaran tersilap membuat unjuran tahunan berdasarkan defisit suku pertama sebanyak 0.9 peratus daripada KDNK dengan mendarabkannya sebanyak empat kali, sekali gus menghasilkan unjuran yang tidak tepat iaitu defisit tahunan 3.6 peratus.
Beliau berkata, defisit yang lebih tinggi pada suku pertama berpunca daripada keputusan kerajaan mempercepatkan perbelanjaan pada awal tahun bagi memastikan agihan perbelanjaan lebih seimbang sepanjang tahun, sekali gus memberi rangsangan yang lebih kukuh kepada aktiviti ekonomi.
-- BERNAMA