KUALA LUMPUR: Pelaburan bernilai AS$50 bilion dalam sektor kecerdasan buatan (AI) di Sarawak dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi wilayah Borneo, khususnya menerusi penjanaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta limpahan ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata perkembangan itu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengetengahkan potensi kedua-dua negeri itu di peringkat antarabangsa.
“Kami amat mengalu-alukan penglibatan Sarawak dalam bidang AI ini kerana ia bukan sahaja melonjakkan ekonomi negeri dan membuka peluang kerjaya kepada anak tempatan, malah limpahan manfaatnya turut akan dinikmati Sabah.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke mana-mana sahaja beliau pergi di pentas antarabangsa sentiasa mengangkat potensi kedua-dua negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, di sini hari ini
Pada Ahad lepas, Anwar ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di Melaka, berkata bahawa seorang pelabur global berhasrat melaksanakan pelaburan bernilai AS$50 bilion (RM204 bilion) dalam bidang AI, teknologi baharu dan pusat data di Sarawak serta Semenanjung.
Beliau berkata pelaburan dalam sektor teknologi berkenaan berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu yang lebih baik kepada rakyat, khususnya generasi muda termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg semalam berkata kerajaan negeri bersedia menerima pelaburan itu, sambil memastikan setiap perancangan dilaksanakan mengikut keutamaan pembangunan Sarawak.
Sementara itu, mengulas langkah kerajaan bagi mengelakkan masalah projek sakit dan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah berulang, Mustapha berkata kerajaan akan memperkukuh aspek pengurusan projek bagi memastikan peruntukan RM18.7 billion yang diberikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada teguran yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, khususnya melibatkan penyediaan tapak, pengurusan utiliti dan pelaksanaan projek.
“Kita kena belajar daripada teguran audit yang telah dibuat baru-baru ini dan telah dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata kelemahan dalam aspek pengurusan projek sering menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan serta peningkatan kos.
Sehubungan itu, beliau menegaskan penambahbaikan pengurusan projek perlu sentiasa menjadi keutamaan oleh semua pihak yang terlibat.
--BERNAMA