Skip to main content
Advertisement

Dunia

Singapura pertimbang perkukuh undang-undang jerebu rentas sempadan

Langkah itu bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban korporat serta memperkukuh keupayaan negara untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas. - Astro AWANI/Shafiqa Azami
Langkah itu bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban korporat serta memperkukuh keupayaan negara untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas. - Astro AWANI/Shafiqa Azami

Advertisement

SINGAPURA: Singapura sedang meneliti langkah untuk memperkukuh Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) bagi menangani kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan jerebu, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu.

Beliau berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban korporat serta memperkukuh keupayaan negara untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Fu berkata kerajaan sedang meneliti keberkesanan undang-undang sedia ada dan terbuka untuk memperkukuh perundangan termasuk THPA, selain membuat pindaan atau memperkenalkan undang-undang baharu jika perlu.

"Jika undang-undang kita perlu diperkukuh, kita akan memperkukuhnya.

"Kita juga bersedia menggunakan pelbagai langkah perundangan, kawal selia dan ekonomi yang lebih menyeluruh," kata beliau pada majlis pembukaan Forum Perolehan Mampan pada Selasa.

Baru-baru ini, Agensi Sekitaran Kebangsaan Singapura (NEA) mengeluarkan notis di bawah THPA kepada 10 syarikat Indonesia dan 10 syarikat berdaftar di Singapura berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam kebakaran hutan serta jerebu rentas sempadan.

Notis itu antara lain menghendaki syarikat terbabit mengemukakan maklumat mengenai konsesi tanah, hubungan korporat serta langkah yang diambil untuk mencegah atau memadamkan kebakaran ketika musim kemarau.

Menurut Fu, penguatkuasaan undang-undang rentas sempadan berdepan dua cabaran utama iaitu mendapatkan bukti yang diperlukan serta memastikan kerjasama daripada syarikat yang beroperasi di luar Singapura.

"Pertama, penyampaian notis itu sendiri boleh menjadi sukar. Mengikut undang-undang antarabangsa, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa penguatkuasaan Singapura dalam bidang kuasa negara lain.

"Kedua, walaupun notis berjaya disampaikan, penguatkuasaan masih sukar dilaksanakan sekiranya syarikat luar negara enggan mematuhinya dan tiada pegawainya memasuki Singapura," kata beliau.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement