Skip to main content
Advertisement

Dunia

Pencipta manga 'Ashita no Joe', Tetsuya Chiba meninggal dunia pada usia 87 tahun

Chiba (foto) menghembuskan nafas terakhir pada jam 6 petang, 22 Okt lalu di sebuah hospital di Tokyo. -Foto Wikipedia
Chiba (foto) menghembuskan nafas terakhir pada jam 6 petang, 22 Okt lalu di sebuah hospital di Tokyo. -Foto Wikipedia

Advertisement

TOKYO: Pelukis manga terkenal Jepun, Tetsuya Chiba, yang dikenali menerusi siri tinju ikonik Ashita no Joe, meninggal dunia pada usia 87 tahun akibat sindrom myelodysplastic, sejenis penyakit yang menjejaskan sumsum tulang dan penghasilan sel darah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Kartunis Jepun dan Kodansha Ltd pada Selasa, Chiba menghembuskan nafas terakhir pada jam 6 petang, 22 Okt lalu di sebuah hospital di Tokyo.

Pengumuman kematiannya dibuat beberapa hari kemudian bagi menghormati hasrat keluarga untuk mengadakan upacara pengebumian secara tertutup terlebih dahulu.

Isterinya, Sachiko Chiba, mengetuai upacara berkenaan sebagai waris terdekat.

Dilahirkan pada 1939, Chiba memulakan kerjaya sebagai pelukis manga ketika usia remaja sebelum muncul sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam industri manga Jepun.

Karya beliau yang paling terkenal, Ashita no Joe, diterbitkan pada 1968 dan menjadi fenomena budaya di Jepun. Siri tersebut kemudian diadaptasi kepada animasi televisyen serta filem.

Selain Ashita no Joe, beliau turut menghasilkan beberapa karya popular lain termasuk Notari Matsutaro, Ore wa Teppei dan Ashita Tenki ni Naare.

Sepanjang kerjayanya, Chiba aktif membimbing generasi baharu pelukis manga menerusi pelbagai program pembangunan bakat termasuk Anugerah Tetsuya Chiba yang dianjurkan oleh Kodansha.

Pada 2024, beliau melakar sejarah apabila menjadi pelukis manga pertama menerima anugerah kebudayaan tertinggi Jepun, Order of Culture, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada seni dan budaya negara itu.

Must Watch Video

Advertisement