Skip to main content

Dunia

Delegasi Hamas tiba di Mesir untuk rundingan lanjut gencatan senjata Gaza

FILE PHOTO: Hamas officials, Khalil Al-Hayya and Osama Hamdan, attend a press conference in Beirut, Lebanon, November 21, 2023. REUTERS/Esa Alexander/File Photo
Hamas memaklumkan delegasi itu diketuai Khalil al-Hayya, ketua Hamas di Gaza dan juga ketua pasukan perunding kumpulan berkenaan. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Delegasi kanan kumpulan penentang Palestin Hamas tiba di Kaherah pada Jumaat bagi mengadakan rundingan dengan pegawai Mesir mengenai pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza serta mekanisme untuk memasuki fasa kedua, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, Hamas memaklumkan delegasi itu diketuai Khalil al-Hayya, ketua Hamas di Gaza dan juga ketua pasukan perunding kumpulan berkenaan.

“Pusingan baharu rundingan dijadual bermula pada Sabtu dan dijangka berlangsung selama beberapa hari,” menurut kenyataan itu.

Menurut Hamas, rundingan akan memberi tumpuan kepada penyempurnaan pelaksanaan gencatan senjata, termasuk langkah berbaki dalam fasa pertama serta mekanisme memasuki fasa kedua.

Delegasi itu akan mengadakan pertemuan dengan “pegawai Mesir dan pihak pengantara bagi memuktamadkan pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata, menghentikan serangan berulang Israel di Semenanjung Gaza dan mewujudkan mekanisme sesuai untuk memasuki fasa kedua perjanjian,” menurut kenyataan itu.

Hamas turut memaklumkan delegasi berkenaan akan bertemu puak dan kumpulan Palestin bagi membentuk pendirian nasional yang bersatu dalam pelbagai isu serta mencapai kata sepakat mengenai cara menangani cabaran dihadapi rakyat Palestin.

Menurut Hamas, delegasi itu turut disertai Zaher Jabarin, ketua Hamas di Tebing Barat yang diduduki, serta anggota biro politik kumpulan itu Husam Badran dan Ghazi Hamad.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada September mengumumkan pelan 20 perkara yang menggariskan rangka kerja gencatan senjata termasuk pembebasan tahanan Israel, pengunduran Israel dari Gaza, pembentukan pentadbiran teknokratik dan penempatan pasukan penstabil antarabangsa, selain gesaan supaya Hamas melucutkan senjata.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata merangkumi penghentian pertempuran dan pertukaran tahanan antara Israel dan puak Palestin. Bagaimanapun, sumber Palestin mendakwa Israel terus melanggar perjanjian itu hampir setiap hari.

Di bawah fasa kedua, Israel dijangka melaksanakan pengunduran lanjut dari wilayah itu, manakala pasukan penstabil antarabangsa akan mengambil alih tanggungjawab keselamatan termasuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan bahan pembinaan semula.

Serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 lagi, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut angka Palestin.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 947 rakyat Palestin dan mencederakan 2,935 yang lain dalam serangan hampir setiap hari, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement