Skip to main content

Malaysia

MAG peroleh 10 unit Boeing 787 Dreamliner, sasar pemodenan armada pesawat

Majlis pengumuman rasmi pemerolehan pesawat MAG Boeing 787 Dreamliner, di Kuala Lumpur, pada Rabu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Astro AWANI
Majlis pengumuman rasmi pemerolehan pesawat MAG Boeing 787 Dreamliner, di Kuala Lumpur, pada Rabu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Malaysia Aviation Group mengumumkan pembelian 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner dengan pilihan enam tambahan, penghantaran dijadualkan antara 2032 hingga 2035.
  • Pemerolehan ini bertujuan memodenkan armada, meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 25 peratus, dan menggantikan tujuh pesawat Airbus A350-900 secara berperingkat.
  • Nilai katalog bagi 16 pesawat termasuk enjin dianggarkan AS$9.3 bilion, dengan Malaysia Airlines menjadi syarikat pertama di Malaysia mengendalikan Boeing 787-10.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pemerolehan 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner secara langsung daripada Boeing, ia sebagai strategi jangka panjang memodenkan armada serta memperkukuh daya saing di pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pemerolehan itu turut disertakan pilihan untuk mendapatkan enam pesawat tambahan, dengan penghantaran 10 pesawat ditempah dijadualkan antara 2032 hingga 2035.

Jelas Nasaruddin, pemilihan Boeing 787-10 dibuat selepas melalui beberapa penilaian, termasuk aspek perancangan rangkaian penerbangan, pengalaman pelanggan serta faktor ekonomi pesawat dan enjin.

Advertisement

Katanya lagi, pesawat berkenaan dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api MAG, sekali gus membantu kumpulan itu mengurus kos operasi bagi penerbangan jarak jauh.

"Ketika ini, pesawat baharu menunjukkan peningkatan kecekapan bahan api sekitar 12 hingga 14 peratus, manakala pesawat ini dirancang untuk mencapai peningkatan kira-kira 25 peratus berbanding generasi sebelumnya.

Advertisement

“Dengan kelebihan itu, kami dapat mengekalkan kos operasi,” katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman rasmi pemerolehan pesawat MAG, di sini, pada Rabu.

Tambah Nasaruddin, nilai katalog bagi keseluruhan 16 pesawat, termasuk pilihan enam pesawat tambahan serta enjin, dianggarkan berjumlah AS$9.3 bilion (RM25.3 biliion) sebelum mengambil kira sebarang diskaun.

Bagaimanapun, jumlah itu bukan nilai kontrak sebenar yang dibayar, MAG masih meneliti pilihan pembiayaan.

“Kaedahnya boleh melibatkan jual dan pajak semula, pajakan operasi atau juga pajakan kewangan,” katanya.

Pemerolehan itu akan menyokong penggantian secara berperingkat tujuh pesawat Airbus A350-900 milik MAG yang dijangka berusia antara 13 hingga 15 tahun ketika proses pembaharuan dilaksanakan, antara 2032 hingga 2035.

Dengan pengenalan Boeing 787, Malaysia Airlines bakal menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengendalikan varian pesawat berkenaan.

Pesawat berbadan lebar itu dilengkapi enjin GEnx-1B keluaran GE Aerospace dan mempunyai kapasiti 319 tempat duduk dalam konfigurasi tiga kelas.

"Pesawat baharu itu dijangka digunakan bagi laluan antarabangsa utama di Eropah dan Asia Pasifik, termasuk London, Paris, Sydney, Melbourne, Tokyo, Osaka dan Seoul, tertakluk kepada perancangan rangkaian serta keperluan operasi pada masa hadapan," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, MAG menyasarkan pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar lima peratus setahun, dengan jumlah armada kumpulan dijangka meningkat daripada kira-kira 101 pesawat ketika ini kepada 129 pesawat menjelang 2035.

Jumlah itu merangkumi keseluruhan operasi kumpulan termasuk perkhidmatan kargo dan Firefly.

Must Watch Video

Advertisement