Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Johnical Rayong sah sertai SUPP secara rasmi selepas keluar PDP

Rayong (tengah) ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS, di Kuching, pada Rabu.
Rayong (tengah) ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS, di Kuching, pada Rabu.

Ringkasan AI

  • Dr Johnichal Rayong Ngipa mengesahkan penyertaan ke SUPP selepas keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).
  • Beliau menyatakan SUPP adalah platform terbaik untuk meneruskan khidmat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan menyokong kepimpinan Premier Sarawak.
  • Rayong sebelum ini mempertahankan kerusi DUN Engkilili atas tiket PSB pada PRN Sarawak ke-12 dengan majoriti 1,191 undi.
Advertisement

KUCHING: Penyandang dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa mengesahkan beliau kini menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selepas mengumumkan keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).

Beliau berkata SUPP merupakan platform terbaik untuknya meneruskan khidmat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya dalam menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, keputusan menyertai SUPP dibuat bagi membolehkannya terus berkhidmat kepada GPS dan Sarawak.

Advertisement

“Bagi saya, SUPP adalah platform terbaik untuk saya melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan kepada GPS, kepada Premier serta Sarawak secara khusus,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS, di sini, pada Rabu.

Pada Isnin, Rayong yang juga Naib Presiden PDP mengumumkan keluar daripada parti itu serta melepaskan semua jawatan disandangnya berkuat kuasa Ahad (22 November) lalu.

Advertisement

Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat atas pertimbangan sendiri selepas meneliti prinsip politik yang dipegang, aspirasi masa depan serta peranan yang ingin terus dimainkan dalam politik Sarawak.

Meskipun meninggalkan PDP, Rayong sebelum ini menegaskan komitmennya untuk kekal bersama GPS di bawah kepimpinan Abang Johari bagi menyokong suara negeri, memperjuangkan hak Sarawak dan memelihara kestabilan politik gabungan itu.

Pada PRN Sarawak ke-12, Rayong mempertahankan kerusi DUN Engkilili atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan majoriti 1,191 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sarawak ke-13 berlangsung pada 12 Disember ini, manakala penamaan calon pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.
 

Must Watch Video

Advertisement