SEPANG: Pelumba Sepanyol, Pedro Acosta, memanfaatkan keadaan cuaca tidak menentu untuk merangkul kemenangan dalam perlumbaan pecut Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini semalam.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu mempamerkan tunggangan mantap dalam keadaan langit mendung dan hujan renyai-renyai untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 20 minit 4.09 saat (s).
Acosta menewaskan rakan senegaranya daripada Ducati Lenovo Team, Marc Marquez, dengan kelebihan tipis 0.578s, sekali gus menyaksikan pencabarnya itu terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Pelumba Itali yang mewakili Aprilia Racing, Marco Bezzecchi, melengkapkan kedudukan podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, ketinggalan 1.310s di belakang Acosta.
Mengulas kejayaannya, Acosta mengakui keadaan cuaca yang silih berganti antara kering dan basah lazimnya tidak memihak kepadanya, namun kali ini beliau nekad mengambil risiko untuk memburu kemenangan.
"Kebiasaannya, saya tidak begitu menyerlah dalam keadaan cuaca seperti ini, tetapi hari ini saya merasakan inilah masanya untuk mencuba.
"Saya tidak rugi apa-apa walaupun tahu Marquez berada di belakang dan sedang bersaing merebut kejuaraan, manakala Aleix pula sudah terbabas.
"Jadi, inilah peluang saya untuk mencuba sesuatu yang berbeza," katanya selepas perlumbaan.
Acosta turut merakamkan penghargaan kepada pasukannya yang bekerja keras untuk meningkatkan prestasi bahagian hadapan jentera KTM, sekali gus membolehkannya beraksi dengan lebih yakin sepanjang perlumbaan.
Menurutnya, kemenangan itu juga cukup bermakna selepas beliau bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada GP Australia.
"Kami melakukan tugas dengan baik. Semua anggota pasukan bekerja keras untuk memperbaiki bahagian hadapan jentera dan saya amat gembira dengan usaha mereka.
"Kini kami meraih kemenangan kedua dan kali ini kami tidak mensia-siakan peluang seperti yang berlaku di Australia.
"Ini satu keputusan yang sangat baik," katanya.
-- BERNAMA