Skip to main content

Politik

Hasrat ADUN Mata Ayer bawa tiga anak bercuti selepas persidangan DUN tidak kesampaian

Wan Badariah (gambar) dilaporkan mengalami keletihan sejak beberapa hari lepas, namun tidak serius seperti yang dialami kira-kira 9 pagi semalam sebelum dia dibawa ke Jabatan Kecemasan HTF sekitar 10.30 pagi. - Foto Facebook Wan Badariah
Wan Badariah (gambar) dilaporkan mengalami keletihan sejak beberapa hari lepas, namun tidak serius seperti yang dialami kira-kira 9 pagi semalam sebelum dia dibawa ke Jabatan Kecemasan HTF sekitar 10.30 pagi. - Foto Facebook Wan Badariah

Advertisement

Advertisement

KANGAR: Hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer Wan Badariah Wan Saad yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini untuk bercuti bersama tiga anak berusia antara 15 hingga 19 tahun dan suami selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak kesampaian.

Suami kepada Allahyarham, Sabry Saad, 52, berkata isterinya yang berusia 50 tahun itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, selain bergurau dan berbual seperti biasa pada Jumaat.

“Cuma kebelakangan ini Allahyarham kerap berbual dengan anak kedua kami, perempuan berusia 18 tahun yang belajar Asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menerusi panggilan telefon serta anak-anak (anak sulung perempuan dan anak ketiga lelaki) yang ada di sini (Perlis),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTF semalam.

Advertisement

Persidangan DUN Perlis dijadualkan berlangsung pada 27 Nov ini bagi pembentangan Belanjawan 2027, kemudian disambung pada 30 Nov hingga 2 Dis.

Sabry berkata Wan Badariah mengalami keletihan sejak beberapa hari lepas, namun tidak serius seperti yang dialami isterinya kira-kira 9 pagi semalam sebelum ADUN itu dibawa ke Jabatan Kecemasan HTF sekitar 10.30 pagi.

Advertisement

“Masa kami bawa ke HTF, isteri saya dah tak boleh bercakap. Bila sampai ke kecemasan, beliau ditidurkan, yang kemudian oksigen dan BP (tekanan darah) beliau semakin menurun, sehinggakan beberapa kali doktor lakukan CPR hingga dah tak boleh buat apa-apa, beliau meninggal dunia pada 4.26 petang tadi,” katanya.

Sabry berkata Wan Badariah menghidap tiroid dan mengambil ubat-ubatan untuk masalah itu, namun beliau tidak menyangka akan apa yang berlaku pada isterinya semalam, yang baginya pemergian ADUN itu sangat mengejutkan.

“Isteri saya makan ubat sebab tiroid dan saya pun tidak sangka akan jadi begini sebab beliau tidak menunjukkan simptom yang lebih dahsyat,” katanya.

Sabry berkata jenazah isterinya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siding, Arau selepas disolatkan pada 11 pagi ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Wan Badariah serta kepimpinan Pas atas pemergian wakil rakyat Pas itu.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami berasa kehilangan besar. Kita doakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Kita mendoakan keluarga Allahyarham bertenang dan bersabar,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Wan Badariah yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memperoleh 4,419 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Siti Berenee Yahya (2,398 undi) dan Amran Kamaruddin daripada Pakatan Harapan (PH) (794 undi) dengan majoriti 2,021 undi.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement