PENERBANGAN sulung pesawat Airbus A350 milik Qatar Airways di Amerika Syarikat sepatutnya menjadi acara khas khusus untuk petugas media AS yang membuat liputan.

Namun ketika hendak berlepas dari New York ke Doha, pesawat khas yang membawa hanya 36 penumpang yang terdiri dari petugas media dan wakil daripada syarikat penerbangan itu berhenti secara automatik.

Detik cemas itu sempat dirakam oleh pengarang laman web pelancongan thepointsguy.com Zach Honig, yang merupakan salah seorang wakil media yang membuat liputan.

Dalam laman web itu, beliau menjelaskan bahawa pesawat sudah siap sedia untuk berlepas di landasan lapangan terbang antarabangsa John F. Kennedy di New York namun terus berhenti sebelum bunyi kuat turut kedengaran.

Sumber: YouTube/The Points Guy

Untuk menjelaskan impak kejadian itu, Honig memberitahu bahawa semua bantal dan selimut yang tersusun rapi di atas tempat duduk penumpang semua terjatuh ke lantai.

Tiada penumpang dilaporkan cedera walaupun mereka sedikit ketakutan dengan insiden itu.



Seorang wakil Qatar Airways memberitahu beliau bahawa kejadian itu berlaku kerana penerbangan itu menerima isyarat landasan terlalu pendek dan pesawat membrek secara automatik.



Kata Honig walaupun beberapa penumpang membuat permintaan untuk keluar daripada pesawat, namun pihak Qatar Airways tetap meneruskan penerbangan menggunakan landasan yang berbeza.


Airbus A350 merupakan pesawat termaju di mana pesawat model A350-900s dikuasakan dengan dua enjin Rolls Royce Trent XWB-84.

Setakat November 2015, hanya Qatar Airways, Vietnam Airlines dan Finnair menggunakan perkhidmatan pesawat jenis Airbus A350.