Skip to main content

Dunia

Dialog Sudan bakal bermula "tidak lama lagi" buka jalan ke arah perdamaian, pilihan raya - PM

[TB]_Kamil Idris_X @sdprimeminister
Kamil Idris berkata, tentera Sudan sedang mara di wilayah Kordofan dan kemudiannya akan menuju ke Darfur "sehingga seluruh negara dibebaskan." - X: @sdprimeminister
Advertisement

KHARTOUM/ISTANBUL: Perdana Menteri Sudan, Kamil Idris pada Ahad berkata, dialog sesama rakyat Sudan akan bermula "tidak lama lagi" bagi membuka jalan ke arah pemulihan negara, perdamaian menyeluruh dan pilihan raya bebas, lapor Anadolu Ajansi.

Dialog itu akan "menjadi milik seluruh rakyat Sudan," kata Kamil ketika pertemuan di Khartoum dengan delegasi Majlis Keamanan dan Keselamatan Kesatuan Afrika (AU) yang diketuai Mohamed Khaled dari Algeria.

Dialog yang dirancang itu akan membawa kepada "pemulihan negara secara menyeluruh, perdamaian nasional sepenuhnya dan pembinaan semula perlembagaan secara bersepadu" sebelum diakhiri dengan "pilihan raya bebas dan adil yang membolehkan rakyat Sudan memilih kepimpinan baharu negara," katanya seperti dipetik agensi berita rasmi SUNA.

Kamil berkata, tentera Sudan sedang mara di wilayah Kordofan dan kemudiannya akan menuju ke Darfur "sehingga seluruh negara dibebaskan."

Beliau berkata, terdapat "garis merah yang tidak boleh dilanggar", termasuk "tidak menyamakan kedudukan Angkatan Tentera Sudan dengan militia Pasukan Sokongan Pantas (RSF)", selain menolak campur tangan asing dalam hal ehwal Sudan.

"Rakyat Sudan sahaja yang menentukan bagaimana hal ehwal negara mereka diuruskan," katanya sambil menambah penglibatan AU dengan Sudan perlu berasaskan "saling menghormati" dalam kalangan negara anggota.

Perdana Menteri itu turut membentangkan inisiatif keamanan kerajaan Sudan yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2025, yang menggesa RSF berundur dari kawasan di bawah kawalannya serta menjalani proses integrasi dan demobilisasi bagi menamatkan perang.

Sementara itu, Khaled menegaskan solidariti AU bersama Sudan dan rakyatnya, menurut SUNA.

Beliau turut menegaskan pendirian majlis itu untuk berpegang pada prinsip AU dalam menghormati kedaulatan dan kesatuan negara serta menolak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota.

Pada Jumaat, Pengerusi Majlis Kedaulatan Sudan, Abdel Fattah al-Burhan meluluskan penyediaan sokongan logistik serta jaminan undang-undang, politik dan keselamatan bagi dialog inklusif Sudan yang diterajui mekanisme nasional bebas.

Sudan dilanda perang sejak April 2023 antara tentera dan RSF berhubung rancangan mengintegrasikan pasukan separa tentera itu ke dalam angkatan tentera. Konflik berkenaan mengorbankan puluhan ribu orang dan menyebabkan kira-kira 13 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut anggaran PBB.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement