CHINA dan Indonesia sepakat untuk bekerjasama lebih rapat untuk melawan COVID-19 ketika Beijing berusaha meningkatkan hubungan dengan negara lain melalui apa yang disebut oleh beberapa penganalisis sebagai "diplomasi vaksin".

Menteri Luar China, Wang Yi berkata kepada utusan khas Indonesia, Luhut Binsar Panjaitan dalam pertemuan di Kunming bahawa program vaksin itu dapat memberikan fokus baru bagi hubungan antara Beijing dan Jakarta.

“China bersedia bekerjasama dengan Indonesia dalam penelitian, produksi dan pengedaran vaksin dan menyokong pertukaran jabatan dan institusi perubatan yang relevan.

“Ia untuk membantu memastikan akses ke vaksin yang berpatutan di seluruh wilayah dan di seluruh dunia," kata Wang.

Beijing menggunakan konsep diplomasi vaksin untuk menjalin hubungan dengan jiran-jirannya, termasuk menjanjikan bahawa negara lain yang menyertainya akan menjadi antara yang pertama menerima vaksin itu apabila ia siap kelak.

Presiden China, Xi Jinping mengatakan pada bulan Mei berkata setiap vaksin yang dihasilkan di China akan menjadi "kebaikan awam global".

Jumaat lepas, China mengumumkan telah mendaftar dalam pengedaran vaksin Pertubuhan Kesihatan Sedunia Covax, yang bertujuan untuk memberikan akses percuma kepada vaksin untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Amerika Syarikat bulan lalu melancarkan Perkongsian Mekong-AS, menawarkan projek bernilai lebih dari AS$150 juta kepada Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos dan Vietnam dalam usaha untuk melawan pengaruh China di Asia Tenggara.

Oleh kerana persaingan dua hala mereka semakin sengit, Beijing dan Washington sama-sama berusaha mendapatkan sokongan di rantau ini.

Sebagai salah satu pelopor utama dalam perlumbaan global untuk mengembangkan vaksin yang berkesan, China ingin memanfaatkannya dengan baik, kata Pang Zhongying, penganalisis hal ehwal antarabangsa di Ocean University of China di Shandong.

"Vaksin adalah pusat serangan terbaik China di Asia Tenggara. 

"Adalah baik untuk menjadikan vaksin untuk umum tetapi segala dorongan untuk mengaitkan tujuan geopolitik harus dihalang," katanya.

Tanpa produk sendiri, Indonesia ingin mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 dari syarikat ubat di seluruh dunia, termasuk Sinovac Biotech China yang kini berada dalam fasa terakhir untuk percubaan terhadap manusia.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)