Disney World pada Jumaat pihak pengurusan sedang memasang papan tanda amaran buaya dan penghadang sementara di resortnya di Florida berikutan kematian seorang kanak-kanak yang ditarik buaya ke dalam tasik.

Papan tanda amaran itu memberitahu bahawa terdapat buaya dan ular di kawasan itu, selain mengingatkan pengunjung agar menjauhi kawasan air dan tidak memberi makan kepada hidupan liar, lapor AFP.

“Kami terus menilai proses dan prosedur di seluruh hartanah ini.

“Kami sedang memasang papan tanda dan penghadang sementara di lokasi resort dan berusaha mencari penyelesaian kekal dan untuk jangka masa panjang,” ujar jurucakap Jacquee Wahler kepada wartawan.

Di lokasi kanak-kanak malang berusia dua tahun itu menginap dengan keluarganya di Grand Floridian Resort and Spa, telah dipasang papan tanda yang melarang pengunjung daripada mandi di tasik.

Bapa kepada kanak-kanak berkenaan pada Selasa lalu cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan anaknya daripada ditarik ke dalam tasik itu namun gagal membebaskannya daripada gigitan reptilia itu.

Pasukan penyelamat telah menjumpai mayat kanak-kanak itu dalam air yang keruh di kedalaman 1.8 meter dan sejauh kira-kira lebih 10 meter dari lokasi dia diserang haiwan liar itu.

BACA: Kanak-kanak dua tahun diseret buaya di taman tema Walt Disney, ditemui mati

VIDEO: Kanak-kanak dua tahun diseret buaya

Disney menutup sementara semua resort pantai dan marina selepas kejadian itu.

“Kami sedang menggiatkan latihan dengan petugas kami berkenaan cara lapor dan interaksi dengan hidupan liar. Kami meluaskankan hubungan komunikasi dengan tetamu kami tentang topik ini,” ujar Wahler.

Buaya sememangnya biasa ditemui dalam kawasan sumber air tawar yang luas di seluruh Florida, namun jarang sekali terjadi kes serangan ke atas manusia.

Sebelum insiden itu, hanya terdapat 22 kematian daripada gigitan buaya di Florida sejak tahun 1948, menurut agensi perkhidmatan perikanan dan hidupan liar Florida.

Grand Floridian adalah sebahagian daripada keseluruhan kompleks Disney, yang merangkumi beberapa taman tema, taman tema air, hotel dan padang golf.