KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan DK Leather Seats Sdn Bhd (DK SCHWEIZER) memeterai kerjasama memperkenalkan kerusi kulit premium baharu bagi Perkhidmatan VIP dalam tren KLIA Ekspres.

Kerjasama itu merupakan pencapaian penting bagi kedua-dua syarikat dengan memanfaatkan kelebihan mereka sebagai penyedia perkhidmatan premium kepada pelanggan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor dalam kenyataannya berkata, syarikat itu mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama yang akan memberi manfaat kepada penumpang.

"Penting bagi kami untuk sentiasa berkerjasama dengan rakan kongsi dalam usaha menyediakan perjalanan yang selesa dan lancar kepada penumpang.

"DK SCHWEIZER terkenal dalam kalangan industri automatif sebagai penyedia upholstri kulit berkualiti di seluruh dunia dan kami sangat teruja kerana kerusi kulit premium ini dibuat khas untuk tempat duduk Perkhidmatan VIP khusus dalam tren KLIA Ekspres kami," katanya.

Noormah juga berharap semua penumpang Perkhidmatan VIP akan dapat menikmati tempat duduk baharu itu yang lebih selesa dan bergaya sepanjang perjalanan ke lapangan terbang.

Sementara itu, Pengarah DK SCHWEIZER, Lesley Koek berkata, kerjasama dengan ERL itu akan mempelbagaikan lagi cabang perniagaan syarikat itu daripada industri automatif kini melangkah ke industri pengangkutan awam.

"Kami akan terus berusaha untuk menjadi pusat penyelesaian perniagaan sehenti bagi sarung kerusi di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan sama.

DK SCHWEIZER mendapat sumber kulit premium daripada pembekal terkemuka di Itali dan Amerika Selatan dengan memastikan setiap bahagian kulit tersebut memenuhi piawaian penggredan automatif yang ketat.

Dengan rekod cemerlang selama 25 tahun, jenama itu terkenal dengan komitmen tidak berbelah bagi terhadap kawalan kualiti dan pembuatannya.

Menurut kenyataan itu, penumpang berpeluang merasai pengalaman tempat duduk premium baharu berkenaan apabila mereka membeli pakej Perkhidmatan VIP yang turut menyediakan perkhidmatan pemindahan lapang terbang pintu ke pintu eksklusif bagi perjalanan sehala atau pergi balik dengan Ekspres KLIA, selain pemandu kereta eksekutif dan porter khas untuk bantuan bagasi. - BERNAMA