KINSHASA: Lebih 7,200 kes Ebola yang disahkan direkodkan di Republik Demokratik Congo (DR Congo), dengan penularan berterusan di beberapa wilayah meskipun trend keseluruhan wabak itu menunjukkan penurunan, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Selasa, lapor Xinhua.
Laporan kerajaan mengenai situasi epidemiologi setakat Ahad memaklumkan sebanyak 7,258 kes yang disahkan direkodkan di tujuh wilayah, termasuk 3,510 kematian dan 1,726 kes sembuh. Seramai 905 pesakit berada dalam pengasingan atau dirawat di hospital, manakala kadar kematian keseluruhan ialah 48.4 peratus.
Wabak itu menjejaskan 62 zon kesihatan di tujuh wilayah -- Ituri, Kivu Utara, Kivu Selatan, Haut-Uele, Bas-Uele, Tshopo dan Sud-Ubangi. Penularan berterusan di Ituri, Kivu Utara dan Haut-Uele, manakala kes sporadik dilaporkan di Tshopo dan Bas-Uele.
Ketua Institut Kesihatan Awam Kebangsaan Dieudonne Mwamba Kazadi berkata keluk epidemik secara keseluruhan menunjukkan trend menurun, dengan kemuncak wabak dilihat telah dicapai sekitar pertengahan Ogos, selepas mesyuarat penyelarasan strategik di Kinshasa pada Isnin.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penurunan itu tidak sekata di seluruh negara, dengan beberapa wilayah, khususnya Kivu Utara, masih melaporkan peningkatan kes.
Wabak semasa yang diisytiharkan pada Mei kini menjadi epidemik Ebola terbesar dan paling membawa maut dalam sejarah DR Congo serta epidemik Ebola kedua terbesar di dunia selepas epidemik di Afrika Barat pada 2014-2016.
-- BERNAMA-XINHUA