EDMONTON: Dua lelaki cedera selepas ditikam dalam satu serangan di sebuah kuil Sikh di Edmonton, Kanada, awal pagi Jumaat, manakala seorang suspek berusia 27 tahun berjaya ditahan di lokasi kejadian.
Menurut Polis Edmonton, kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi di Nanaksar Gurdwara apabila seorang lelaki memasuki rumah ibadat berkenaan dan cuba menuju ke kawasan sembahyang sebelum berdepan dengan kakitangan kuil.
Pertelingkahan yang tercetus kemudiannya bertukar ganas apabila suspek menikam dua lelaki.
Bagaimanapun, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak pantas menahan suspek sebelum pihak polis tiba dan menahannya.
Mangsa yang berusia 75 dan 51 tahun dilaporkan mengalami kecederaan tetapi tidak mengancam nyawa dan kini berada dalam keadaan stabil.
Kedua-duanya dipercayai merupakan individu yang sedang beribadat di kuil berkenaan ketika serangan berlaku.
Pihak berkuasa berkata suspek sememangnya dikenali polis dan mempunyai rekod panjang kesalahan melibatkan keganasan sejak 2015.
Siasatan turut mendapati lelaki itu baru dibebaskan dari penjara persekutuan di Alberta sehari sebelum kejadian, namun gagal melaporkan diri ke rumah peralihan yang ditetapkan di Edmonton.
Ketua Polis Edmonton, Warren Driechel, berkata siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif serangan, termasuk kemungkinan ia didorong oleh unsur kebencian atau ideologi tertentu.
Unit Jenayah Kebencian polis turut dilibatkan dalam siasatan.
"Kami bersyukur insiden ini tidak mengakibatkan kecederaan lebih serius atau kehilangan nyawa, namun trauma yang dialami mangsa dan komuniti Sikh tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Sikh Sedunia (World Sikh Organization) menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang amat membimbangkan, terutama ketika komuniti Sikh di Kanada berdepan peningkatan sentimen kebencian sejak kebelakangan ini.
Pertubuhan itu turut mendakwa naskhah kitab suci Sikh di dalam kuil berkenaan telah dicemari semasa serangan berlaku.
Serangan itu berlaku hanya seminggu selepas polis mengesahkan sedang menyiasat panggilan berunsur ugutan yang diterima oleh dua gurdwara di Calgary, kira-kira dua jam perjalanan dari Edmonton.
Pihak kuil kini ditutup kepada orang ramai sementara siasatan diteruskan.