KUALA LUMPUR: Dua kejadian gempa bumi sederhana dilaporkan berlaku di Indonesia pada pagi Ahad melibatkan wilayah Sumbawa dan Sumatera Utara, namun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi pertama bermagnitud 6.0 berlaku pada jam 6.55 pagi di wilayah Sumbawa, Indonesia.
Gempa tersebut dikesan pada kedalaman 87 kilometer dengan pusat gempa terletak kira-kira 140 kilometer ke selatan Bima, di Pulau Sumbawa.
Sementara itu, satu lagi gempa bumi sederhana bermagnitud 5.8 direkodkan di Sumatera Utara pada jam 7.37 pagi.
MetMalaysia memaklumkan, gempa itu berlaku pada koordinat 4.6 darjah Utara dan 96.3 darjah Timur, kira-kira 59 kilometer timur laut Meulaboh, Indonesia, pada kedalaman 30 kilometer.
Menurut agensi itu, gegaran daripada gempa bumi di Sumatera Utara berkemungkinan dirasai di beberapa kawasan sekitar negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, kedua-dua kejadian tidak mencetuskan ancaman tsunami kepada Malaysia.
MetMalaysia berkata, pemantauan berterusan sedang dijalankan dan orang ramai dinasihatkan mengikuti maklumat rasmi yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.