Dua lagi pelancong dimasukkan ke hospital di Istanbul disyaki keracunan makanan

Keracunan makanan disyaki sebagai punca kematian bagi tiga sekeluarga sebelum ini. - Gambar hiasan
ISTANBUL: Dua lagi pelancong telah dimasukkan ke hospital di Istanbul dengan gejala keracunan makanan, susulan kematian seorang wanita Jerman dan dua anaknya awal minggu ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mangsa terbaharu itu dilaporkan menginap di hotel yang sama di daerah Fatih bersama keluarga Jerman berkenaan, menurut agensi berita DHA pada Sabtu.
Akhbar harian Cumhuriyet (Republic) melaporkan bahawa pelancong yang sakit itu berasal dari Itali dan Maghribi.
Bapa keluarga Jerman itu masih menerima rawatan di unit rawatan rapi manakala si ibu dijangka dikebumikan bersama anak-anaknya di Afyonkarahisar di barat Turkiye, tempat asal keluarga tersebut, pada Sabtu.
Keracunan makanan disyaki sebagai punca kematian. Keputusan ujian makmal masih belum diterima, menurut agensi berita negeri Anadolu, dan laporan bedah siasat awal tidak memberikan banyak maklumat.
Empat suspek telah ditahan pada Jumaat dan polis masih menjalankan siasatan.
Menurut penyiar negeri TRT, mereka yang ditahan termasuk penjual makanan yang menjual kupang manis berinti serta hidangan usus anak lembu yang dikenali dalam bahasa Turki sebagai kokorec.
Mereka dituduh menyebabkan kematian akibat kecuaian, menurut Anadolu, dan semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


