KUALA LUMPUR: Menginjak usia 79 tahun, artis veteran tersohor, Norlia Ghani tidak menjadikan status warga emas sebagai penghalang untuk beliau terus relevan apabila kini ligat menempa nama selaku pencipta kandungan di platform TikTok.
Pun begitu, Norlia yang membahasakan dirinya “Mama” berkata, peralihan beliau ke wadah digital itu didorong oleh faktor kesihatan, meskipun masih menerima tawaran untuk berlakon.
"Mama kena memilih (karya) disebabkan oleh faktor usia sekarang yang sudah lanjut. Pada usia sebegini, kena jaga kesihatan kerana kita dah tidak lagi sekuat dulu, jadi hari ini Mama kena lebih berhati-hati.
"Lagipun, apabila di set penggambaran memerlukan masa yang panjang. Sesekali Mama akan ambil job (tawaran berlakon). Jika tiada, Mama fokus pada Tiktok," katanya kepada Bernama selepas Program Tribute dan Penghargaan Tokoh Veteran Negara bersempena dengan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 di FINAS, Hulu Kelang, semalam.
Pelakon yang cukup sinonim dengan watak Joyah menerusi drama bersiri popular Opah itu menyifatkan TikTok sebagai gelanggang alternatif terbaik untuknya terus berinteraksi dengan peminat sambil menjana pendapatan.
Menerusi platform tersebut, Norlia aktif menerima pelbagai tawaran ulasan produk, promosi makanan serta undangan ke majlis rasmi yang bukan sahaja memberi pulangan lumayan, malah urusan pembayarannya jauh lebih lancar.
"Buat kerja ulasan ini pembayarannya lebih cepat, selesai kerja terus dapat bayaran, berbanding bayaran produksi drama yang memerlukan kita menunggu sedikit," katanya yang turut bersyukur apabila video dihasilkannya menerima jutaan tontonan.
Ibu kepada pelakon Rusdi Ramli itu menyifatkan tugas menghasilkan kandungan digital sebenarnya tidak jauh berbeza dengan profesion asalnya di hadapan lensa kamera.
"Drama ke, TikTok ke, Mama rasa macam berlakon juga, sebab bila kita buat affiliate (bekerjasama) dengan produk-produk, kita tetap kena bercakap di depan kamera, sama sahaja," katanya yang turut bersyukur mendapat sokongan padu daripada anak-anaknya serta komen positif peminat.
Menepis pandangan sinis segelintir pihak yang menganggap warga emas tidak wajar ghairah bermain media sosial, Norlia berkata beliau memilih untuk tidak mempedulikan tohmahan itu kerana niatnya cuma mahu mencari rezeki yang halal.
-- BERNAMA