NEW YORK: Dua orang dilaporkan terbunuh dalam letupan kenderaan di lintasan sempadan Jambatan Rainbow Amerika Syarikat (AS) -Kanada pada Rabu.

Kenderaan berkenaan meletup sebelum tengah hari di atas jambatan yang menghubungkan Kanada dengan New York.

"Kejadian yang berlaku ini sesuatu yang sangat serius," kata Menteri Keselamatan Awam Kanada, Dominic LeBlanc kepada wartawan pada Rabu.

"Kami sifatkan kejadian ini sangat serius tetapi untuk membuat spekulasi bagaimana letupan bermula - sebab-sebab mengapa ini mungkin terjadi - sehingga kami mempunyai maklumat yang lebih tepat adalah tidak bertanggungjawab."

Letupan itu berlaku menjelang sambutan perayaan Thanksgiving AS yang menyebabkan penutupan banyak laluan serta kelewatan selain menjadi hari yang paling sibuk bagi masyarakat tempatan.

Semua empat jambatan yang menghubungkan Kanada dan AS - termasuk Peace, Lewiston-Queenston dan Whirlpool - telah ditutup, kata pihak berkuasa.

Lapangan Terbang Antarabangsa Buffalo Niagara pula mengingatkan pelancong agar bersiap sedia untuk melalui saringan dan kawalan keselamatan yang ketat susulan kejadian letupan itu.

Sementara Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika AS pula memaklumkan, lapangan terbang itu ditutup untuk mana-mana penerbangan antarabangsa sama ada yang mahu berlepas atau tiba dari luar.

Ketika ini, media sosial dibanjiri gambar-gambar yang dirakamkan di tempat kejadian.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang disiasat pihak berkuasa menunjukkan sebuah kenderaan yang memasuki jambatan di wilayah AS itu memecut dengan kelajuan tinggi.

Difahamkan, kenderaan itu dalam perjalanan dari Kanada ke AS.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Polis Negeri New York serta Pasukan Kastam dan Perbatasan AS kini berada di lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.

Dalam masa sama FBI sedang berusaha mendapatkan rakaman video dari pelbagai sudut berikutan keterangan berbeza diperoleh daripada saksi-saksi berbeza, lapor CNN yang memetik sumber.

Pihak berkuasa juga sedang cuba untuk menentukan sama ada individu yang memandu kenderaan tersebut
juga adalah pemilik kereta berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan letupan yang berlaku itu menyulitkan proses mengenal pasti identiti pemandu. - Agensi