MADRID: Dua wanita maut manakala dua kanak-kanak cedera ringan pada Sabtu selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda sebuah kampung di barat laut Sepanyol, menurut pihak berkuasa tempatan dan polis, lapor Xinhua.
Kejadian berlaku di Manzanedo de Valdueza, sebuah kampung dalam kawasan perbandaran Ponferrada di wilayah Leon.
Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di lereng bukit berhampiran, menyebabkan air dan lumpur mengalir deras melalui Church Street di kampung berkenaan, menurut polis.
Enam orang berada di dalam sebuah bilik bawah tanah ketika ia dinaiki air. Dua wanita maut manakala dua kanak-kanak mengalami kecederaan ringan.
Tiada individu dilaporkan hilang setakat malam Sabtu.
Perkhidmatan kecemasan wilayah Castilla dan Leon menerima panggilan pertama kira-kira 7.38 malam waktu tempatan.
Anggota bomba, polis dan pasukan perubatan dikerahkan ke lokasi, manakala agensi perlindungan awam wilayah itu mengerahkan sebuah helikopter penyelamat.
Kampung Bouzas turut terjejas akibat cuaca buruk, dengan satu lagi kejadian banjir kilat menghanyutkan beberapa kenderaan.
-- BERNAMA-XINHUA