Sekurang-kurangnya dua maut dalam letupan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dekat Ankara, Turki semalam.

Suspek, dipercayai penyerang berani mati, dikatakan meledakkan diri dengan bahan letupan di hadapan pintu masuk pejabat wakil diplomat.

Letupan itu menyebabkan kebakaran dan serpihan bertebaran di jalan raya berhampiran.

Laporan stesen televisyen tempatan mendakwa, seorang pengawal keselamatan antara yang terbunuh.

Serangan tersebut didakwa dilakukan kumpulan yang dikenali sebagai Barisan Parti Pembebasan Rakyat (DHKP-C) yang diharamkan di Truki.

Insiden letupan itu mengundang kecaman Washington yang memperbaharui ikrar untuk memerangi keganasan yang dianggap Amerika Syarikat masih sukar dilumpuhkan.

Jabatan Negara Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan polis Turki untuk penilaian penuh kerosakan akibat insiden itu.

Ankara sebelum ini pernah digegarkan serangan berani mati pada September 2011. Serangan itu didakwa didalangi pemberontak Kurdis.