NARATHIWAT: Dua anggota sukarelawan pertahanan maut dan tiga lagi cedera dalam satu insiden letupan bom di Chanae, Narathiwat.

Kejadian berlaku pada 3.35 petang (waktu tempatan) pada Ahad ketika lima anggota sukarelawan pertahanan dalam perjalanan ke Pejabat Pentadbiran Mukim.

Timbalan Ketua Polis Narathiwat Kolonel Direk Chomyong berkata sebaik lima anggota itu tiba di tempat kejadian, bom buatan sendiri seberat 50 kilogram yang dipasang pada tong gas diletupkan dengan menggunakan walkie-talkie.

"Letupan itu menyebabkan lima anggota sukarelawan pertahanan cedera. Seorang maut di Hospital Naradhiwas Rajanagarindra semalam dan seorang lagi meninggal dunia hari ini," katanya pada satu sidang media di sini pada Selasa.

Letupan berkenaan turut mengakibatkan lubang sedalam satu meter di atas jalan raya.

-- BERNAMA