Dua orang rakyat Malaysia adalah antara lapan orang yang cedera dalam nahas yang turut mengorbankan tujuh orang lagi dekat Kampung Khoksai di sini awal pagi tadi.

Warga Malaysia itu dikenali sebagai Abdul Karim Alias, 45, dari Kuantan, Pahang dan Abdul Halim Ismail, 43, yang dimasukkan ke Hospital Chana.

Ketua Polis Mukim Kuanmeed, Daerah Chana, Insp Seri Sukkasikorn berkata kemalangan berlaku sekitar 4.30 pagi yang mengorbankan pemandu van berbangsa Thailand serta enam warga Kemboja.

"Kemalangan berlaku apabila pemandunya tertidur semasa memandu akibat keletihan setelah memandu agak lama dan menyebabkan vannya terbabas dan seterusnya melanggar pokok," katanya.

Beliau berkata pasukan penyelamat dan polis bergegas ke tempat kejadian dan menyelamatkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Chana.

Abdul Karim berkata pemandu van didapati tertidur sebelum van terbabas dan melanggar pokok.

Beliau yang cedera ringan berkata terdapat 15 orang penumpang dalam van itu iaitu dua warga Malaysia, dua warga Thailand termasuk pemandunya dan 11 warga Kemboja.

Van tersebut bertolak dari Wilayah Sakeaw tengah hari semalam.

Abdul Karim berkata van itu disewa dari Narathiwat untuk ke Sakkaew, timur Thailand yang bersempadan dengan Poipet, Kemboja bagi mengambil pekerja untuk dibawa masuk ke Malaysia.