Skip to main content

Dunia

Dua rakyat Malaysia mangsa letupan bom Narathiwat dibawa pulang, dirawat lanjut di Kelantan

TB_LETUPAN BOM RAKYAT MALAYSIA YALA THAILAND_Yala Provincial Public Relations Office
Kenderaan berpendaftaran Malaysia terkena impak alat letupan buatan sendiri (IED) yang dipasang di bawah pembetung jalan di Wilayah Narathiwat, Thailand, pada pagi Isnin. - Gambar Facebook/ Yala Provincial PR Office
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan membawa pulang dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Narathiwat, Thailand untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital di Kelantan.

Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, kedua-dua mangsa dibenarkan keluar dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra selepas keadaan mereka stabil sebelum urusan kepulangan ke Malaysia diselaraskan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Menurut kementerian, pihak konsulat turut menyelaras dengan agensi berkaitan di Rantau Panjang bagi melancarkan proses pemeriksaan imigresen di sempadan Malaysia-Thailand.

"Setelah proses pemeriksaan selesai, kedua-dua mangsa dibawa dengan ambulans ke sebuah hospital di Kelantan untuk menerima rawatan lanjut," menurut kenyataan itu pada Selasa.

KLN berkata, kedua-dua mangsa diiringi pihak berkuasa tempatan Thailand dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra ke sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang bagi memastikan perjalanan pulang mereka berjalan lancar.

Dalam pada itu, KLN merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand dan pihak berkuasa tempatan di Narathiwat atas bantuan serta kerjasama yang diberikan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terlibat.

Menurut kenyataan itu, kementerian menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.

Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke wilayah selatan Thailand supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Pada Isnin, media melaporkan dua rakyat Malaysia cedera selepas terkena letupan bom ketika berada di pekan Tak Bai, Narathiwat.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 11.41 pagi (waktu tempatan) memaksa laluan bermula dari Persimpangan Sapom hingga ke Kampung Saba Baharu, Daerah Tak Bai ditutup sepenuhnya bagi membolehkan Unit Pemusnah Bom (EOD) dan pasukan forensik menjalankan siasatan serta pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement