Dua warga Itali yang memperdaya mangsa untuk melabur dalam syarikat pakaian palsu atas nama aktor Hollywood, George Clooney, akhirnya ditangkap ketika sedang bersembunyi di Chon Buri, Thailand.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, Komander Bahagian Pembanterasan Jenayah Jiraphob Puridet pada Ahad berkata, suspek, Francesco Galdeli, 58, dan Vanja Goffi, 45, ditahan di sebuah rumah di daerah Bang Lamung berdekatan bandar Pattaya.

Waran tangkap kedua-dua mereka telah dikeluarkan oleh pihak Interpol.

Jiraphob berkata pihak berkuasa Itali telah berkongsi maklumat dengan polis Thailand selepas kedua-dua suspek melarikan diri daripada hukuman mahkamah di Itali.

Mahkamah di Milan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun 4 bulan dan denda sebanyak 14,500 Euro (RM68,000) ke atas Galdeli dan Goffi kerana terlibat dengan sindiket penipuan.

Modus operandi suspek pada 2010 adalah dengan memperdaya mangsa supaya mempercayai kewujudan satu label pakaian eksport atas nama George Clooney. Aktor itu sendiri telah menyaman mereka di Itali dengan nilai 3 juta Euro.

Melalui kaedah penipuan itu, mereka bagaimanapun berjaya memperoleh sekitar 1 juta Euro (RM5 juta), lalu melarikan diri ke Thailand pada tahun 2014.

Polis Thailand juga telah mendakwa mereka kerana menginap melebihi tempoh visa di Negara Gajah Putih itu, dan akan menyerahkan mereka ke pihak berkuasa Itali selepas selesai prosiding.