ROM: Duta Amerika Syarikat (AS) ke Itali, Tilman Fertitta, menjadi tumpuan apabila menggunakan kapal layar mewah miliknya bernilai kira-kira AS$450 juta (RM1.9 bilion) untuk menjelajah pesisir Itali dalam misi yang digelarnya sebagai “diplomasi pesisir” (coastal diplomacy).
Fertitta, 69, seorang bilionair dari Texas yang dilantik Presiden Donald Trump sebagai duta ke Itali, membawa rombongan diplomatiknya mengelilingi beberapa bandar utama Itali menggunakan kapal layar gergasi Boardwalk, yang dilengkapi pelbagai kemudahan mewah termasuk kolam renang, gimnasium, ruang istirahat eksklusif dan bilik simpanan wain.
Jelajah musim panas yang bermula pada Jun itu merangkumi beberapa persinggahan termasuk Sicily, Venice dan Sardinia dengan tujuan memperkukuh hubungan antara AS dan Itali menerusi siri pertemuan bersama pemimpin wilayah, tokoh perniagaan serta wakil masyarakat tempatan.
Ketika ditemui di atas Boardwalk, Fertitta menegaskan, kapalnya bukan sekadar simbol kemewahan, sebaliknya berfungsi sebagai platform untuk membina hubungan diplomatik dalam suasana yang lebih santai dan mesra.
Beliau yang tersenarai antara individu terkaya di Amerika Syarikat hasil empayar perniagaan dalam sektor hospitaliti dan hiburan berkata, pendekatan itu membolehkannya berinteraksi dengan lebih dekat bersama komuniti setempat di seluruh Itali.
Bagaimanapun, penggunaan kapal layar bernilai ratusan juta dolar itu turut mencetuskan kritikan dalam kalangan sebahagian masyarakat Itali yang menganggapnya sebagai lambang jurang kekayaan dan kemewahan berlebihan dalam diplomasi moden.
Di Venice, cadangan ketibaan Boardwalk sempena festival tahunan Festa del Redentore sebelum ini mengundang bantahan daripada kumpulan aktivis tempatan yang mendakwa bandar bersejarah itu semakin dieksploitasi sebagai pentas golongan elit dan bilionair antarabangsa.
Walaupun berdepan kritikan, Fertitta mempertahankan pendekatan tersebut dan menyifatkan pelayaran itu sebagai sebahagian daripada usaha meraikan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat, selain mengukuhkan hubungan dua hala antara Washington dan Rome.
Fertitta, yang juga pemilik pasukan NBA Houston Rockets serta syarikat hospitaliti gergasi Landry’s Inc., merupakan antara penyumbang utama kepada kempen Trump sebelum dilantik sebagai duta AS ke Itali pada tahun 2025.