Ejen ICE dalam kes tembakan Minnesota pernah diseret kereta pada Jun

Ross cedera teruk selepas diseret oleh kereta seorang suspek yang cuba melarikan diri semasa percubaan penahanan di Bloomington, Minnesota. - Foto AP
MINNEAPOLIS: Rekod mahkamah Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa ejen Ice and Customs Enforcement (ICE) yang menembak mati Renee Nicole Good, seorang wanita berusia 37 tahun di Minneapolis pada Rabu lepas, adalah ejen yang sama pernah diseret oleh sebuah kereta semasa operasi sebelum ini pada Jun tahun lalu.
Walaupun pihak berkuasa persekutuan belum secara rasmi mendedahkan nama ejen tersebut, rekod mahkamah menunjukkan ejen itu dikenali sebagai Jonathan Ross, seorang pegawai berpengalaman dengan lebih 10 tahun perkhidmatan di ICE.
Dalam insiden Jun, beliau cedera teruk selepas diseret oleh kereta seorang suspek yang cuba melarikan diri semasa percubaan penahanan di Bloomington, Minnesota.
Ross dilaporkan mengalami kecederaan pada lengan, lutut, siku dan muka yang memerlukan puluhan jahitan.
Ross juga merupakan seorang veteran tentera yang berkhidmat dalam Perang Iraq dan telah bersama ICE sejak lebih sedekad lalu, termasuk dalam pasukan tindak balas khas yang menangani waran berisiko tinggi.
Kematian Good semasa operasi imigresen telah mencetuskan perdebatan di seluruh negara, dengan ramai mempersoalkan sama ada tindakan ejen itu sebagai tindakan mempertahankan diri atau penggunaan kekuatan yang keterlaluan.
Video insiden menunjukkan kereta Good bergerak ketika cuba menjauhkan diri dari pegawai, dan pihak berkuasa menyatakan ejen itu bertindak kerana bimbang akan keselamatannya.
Insiden tersebut kini disiasat oleh FBI dan pihak berkuasa tempatan, dan telah mencetuskan protes serta kritikan terhadap taktik imigresen yang agresif di Minnesota dan di seluruh AS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


