JAKARTA: Ekonomi Indonesia berkembang 5.61 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada suku pertama 2026, dipacu terutamanya oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Ketua Badan Pusat Statistik (BPS), Amalia Adininggar Widyasanti berkata, pertumbuhan itu melebihi angka suku pertama yang dicatatkan sejak 2021.
Advertisement
“Jika kita lihat suku pertama 2026, ia pada 5.61 peratus, ini merupakan (kadar) pertumbuhan (ekonomi) tertinggi,” katanya yang dipetik oleh Agensi Berita Antara pada Selasa.
Beliau berkata, kadar pertumbuhan ekonomi bagi suku pertama antara 2021 dan 2026 tidak pernah melebihi 5.61 peratus.
Amalia menambah, pertumbuhan suku pertama telah bertambah baik secara beransur-ansur dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia mencapai 5.03 peratus pada 2022, 5.04 peratus pada 2023 dan 5.11 peratus pada 2024, sebelum menurun sedikit kepada 4.87 peratus pada 2025.
Bagaimanapun, pada asas suku ke suku (q-o-q), ekonomi menyusut 0.77 peratus berbanding suku keempat 2025, yang mencerminkan trend bermusim.
Penggunaan isi rumah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan. Ia menyumbang sebanyak 2.94 mata peratusan, disokong oleh peningkatan mobiliti semasa cuti kebangsaan dan perayaan keagamaan utama, katanya.
Pelbagai langkah kerajaan termasuk dasar kawalan inflasi, diskaun tambang pengangkutan dan pemberian elaun hari raya, turut membantu mengekalkan penggunaan, kata Amalia.
Kadar faedah penanda aras Bank Indonesia pada 4.75 peratus, akan terus menyokong permintaan domestik, tambahnya.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa melaporkan, hasil negara mencecah Rp574.9 trilion manakala perbelanjaan kerajaan adalah sebanyak Rp815 trilion, mengakibatkan defisit fiskal sebanyak Rp240.1 trilion.
“Defisit mencecah Rp240.1 trilion atau 0.93 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), setakat 31 Mac, 2026,” katanya yang dipetik oleh Antara.
Beliau berkata, realisasi hasil negara merangkumi 18.2 peratus daripada sasaran belanjawan bagi tahun penuh, berkembang 10.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y).
“Hasil cukai dicatatkan pada Rp462.7 trilion, berkembang 14.2 peratus y-o-y. Cukai yang diterima berjumlah Rp394.8 trilion, berkembang 20.7 peratus y-o-y, manakala hasil kastam dan eksais adalah sebanyak Rp67.9 trilion, merosot 12.6 peratus y-o-y,” tambahnya.
-- BERNAMA