Skip to main content

Malaysia

61 kes penipuan dalam talian babit pelajar IPT di Perak, kerugian lebih RM300,000

81730721527_PhoneScams.jpg
Sebanyak 61 kes penipuan dalam talian melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Perak direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini, dengan jumlah kerugian RM303,372.36. - Gambar hiasan

SERI ISKANDAR: Sebanyak 61 kes penipuan dalam talian melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Perak direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini, dengan jumlah kerugian RM303,372.36.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, antara bentuk penipuan yang dikenal pasti ialah penipuan melalui panggilan telefon, e-dagang, pelaburan dan tawaran pinjaman tidak wujud.

“Jika dahulu pelajar IPT dilihat kurang terdedah, namun data yang kita peroleh ini menunjukkan mereka antara golongan utama yang disasarkan oleh penjenayah,” katanya.  

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Module on the Current Trends of Commercial Crimes di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini, pada Selasa.

Noor Hisam menegaskan, semua pihak perlu memandang serius jenayah berkenaan kerana ia tidak memilih mangsa dan boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang serta kedudukan.

Mengenai program berkenaan, beliau berkata, ia membabitkan kerjasama antara polis kontinjen Perak dan UTP bertujuan memperkukuh kesedaran berkaitan jenayah komersial dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar IPT.

Beliau berkata, modul yang dilancarkan itu memberi fokus kepada trend semasa jenayah komersial yang semakin berkembang selari kemajuan teknologi digital, sekali gus memerlukan pendekatan lebih proaktif dalam aspek pencegahan.

“Melalui program seperti ini, kita berharap pelajar bukan sahaja lebih peka terhadap taktik penipuan, tetapi juga mampu menjadi ejen penyampai maklumat kepada rakan-rakan serta komuniti masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video