DUNIA
Eksekutif kanan Astronomer ‘kantoi’ berpelukan dengan CEO dalam konsert Coldplay letak jawatan

Video yang dirakam semasa segmen "kiss cam" di konsert Coldplay pada 16 Julai lalu menunjukkan Byron memeluk Kristin Cabot, Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat yang sama, Astronomer. - Foto X/Pop Base
WASHINGTON: Seorang pegawai kanan syarikat teknologi di Amerika Syarikat (AS) meletak jawatan selepas tular dalam sebuah klip video yang merakamkan aksinya memeluk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu ketika konsert Coldplay.
Kristin Cabot, yang memegang jawatan Ketua Pegawai Sumber Manusia di syarikat data dan analitik, Astronomer disahkan telah meninggalkan syarikat berkenaan, menurut kenyataan rasmi kepada BBC.
Perkembangan itu menyusul selepas peletakan jawatan Andy Byron, bekas CEO Astronomer, yang sebelum ini telah diarahkan bercuti sementara siasatan dijalankan susulan video tular tersebut.
Bagaimanapun, BBC tidak dapat mengesahkan secara bebas identiti dua individu dalam video itu.Klip berkenaan memaparkan seorang lelaki dan wanita yang dilaporkan sebagai rakan sekerja sedang berdansa dan berpelukan di dalam arena sebelum mereka kelihatan terkejut dan segera bersembunyi apabila wajah mereka muncul di skrin besar.
Penyanyi utama Coldplay, Chris Martin, turut mengulas insiden itu secara berseloroh di atas pentas dengan berkata: “Mereka mungkin sedang menjalinkan hubungan sulit… atau mungkin mereka cuma pemalu.”
Video berkenaan mendapat jutaan tontonan di media sosial, diubah menjadi meme, malah turut dijadikan bahan jenaka dalam beberapa rancangan televisyen.
Selepas netizen berusaha mengenal pasti pasangan terbabit dan beberapa kenyataan palsu mula tular, Astronomer mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan dalaman telah dimulakan tanpa merujuk terus kepada video itu.
CEO syarikat itu turut diarahkan bercuti sepanjang siasatan dijalankan.
Keesokannya, Byron disahkan telah meletak jawatan secara rasmi.
Astronomer yang beroperasi dalam bidang data, analitik dan kecerdasan buatan (AI), turut mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Produk merangkap pengasas bersama, Pete DeJoy, sebagai CEO interim.
“Peristiwa beberapa hari lalu membawa perhatian luar biasa terhadap syarikat kami - satu perkara yang jarang dialami, apatah lagi bagi sebuah syarikat pemula dalam bidang data dan AI,” kata DeJoy dalam kenyataan terkininya.
Beliau menambah, meskipun syarikat mereka kini dikenali ramai secara mendadak, Astronomer akan terus komited membina masa depan dan kekal fokus kepada misi asal mereka. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami