Ekstremis rekrut kanak-kanak melalui permainan dalam talian - Pakar

Ali Rashid menegaskan bahawa kanak-kanak sering melihat permainan sebagai hiburan yang tidak berbahaya, menjadikan mereka sasaran mudah kepada mesej ekstremis. - Gambar fail
JAKARTA: Kumpulan pengganas kini semakin giat menggunakan permainan dalam talian untuk mempengaruhi dan menyebarkan fahaman radikal terhadap kanak-kanak di seluruh dunia termasuk di Indonesia, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap gelombang ekstremisme digital yang kian meningkat, menurut pakar pemantauan keganasan.
Dalam lawatan terbaharu ke Jakarta, Pengerusi Hedayah yang berpangkalan di Abu Dhabi, Ali Rashid Al Nuaimi, menegaskan bahawa kanak-kanak sering melihat permainan sebagai hiburan yang tidak berbahaya, menjadikan mereka sasaran mudah kepada mesej ekstremis.
"Keganasan adalah isu global, ancaman global. Kumpulan ideologi ganas dahulunya merekrut melalui pertemuan langsung atau media sosial; kini kumpulan pengganas merekrut pejuang melalui permainan dalam talian," katanya.
Sementara itu, Badan Nasional Anti Keganasan (BNPT) Indonesia turut menyuarakan kebimbangan sama dan berkata pihaknya telah merangka langkah untuk menangani ancaman itu.
"Kami melihat rangkaian pengganas tempatan merekrut golongan muda melalui media sosial dan permainan dalam talian dan kami telah mengambil langkah untuk menanganinya," kata ketua BNPT Eddy Hartono, dalam kenyataan pada Jumaat.
Program Duta Keamanan agensi itu menggalakkan golongan belia menyebarkan mesej keamanan dalam talian bagi menangkis naratif ekstremis.
Hedayah, pusat kecemerlangan antarabangsa dalam menangani ekstremisme ganas, dianggotai wakil dari 12 negara di bawah "Global Counterterrorism Forum" termasuk Kanada, Mesir, Indonesia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Turkiye.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


