Ringkasan AI
- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman dan rekod cemerlangnya.
- Tan Cheng Hoe, bekas jurulatih interim, kini dilantik sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya untuk memperkukuh pengurusan dan pembangunan pasukan kebangsaan.
- Pelantikan Hodak diharap dapat memberikan hala tuju baharu serta memperkukuh persiapan Harimau Malaya menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang.
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan jurulatih kelahiran Croatia Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.
FAM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Hodak dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam arena bola sepak, khususnya di Asia Tenggara, selain rekod pencapaian cemerlang sepanjang kerjaya kejurulatihannya di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan.
Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan berkata pemilihan Hodak dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta rekod pencapaiannya yang membuktikan keupayaan jurulatih itu untuk membimbing skuad kebangsaan.
“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya.
Hodak bukan nama asing dalam kancah bola sepak Malaysia kerana pernah membimbing beberapa pasukan tempatan, termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Jurulatih berusia 55 tahun itu juga pernah mengendalikan skuad bawah 19 tahun (B-19) negara dari 2017 hingga 2019.
Di peringkat serantau, Hodak pernah membimbing kelab Kemboja, Phnom Penh Crown, serta dua kelab Indonesia, iaitu PSM Makassar dan Persib Bandung.
Sementara itu, Tan Cheng Hoe yang sebelum ini bertindak sebagai jurulatih interim skuad kebangsaan akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
“Dalam kapasiti tersebut, beliau akan terus menyumbang pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi membantu memperkukuh pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan,” menurut kenyataan itu.
Harimau Malaya sebelum ini dibimbing oleh Peter Cklamovski, yang kontraknya ditamatkan atas persetujuan bersama pada Jun lepas.
-- BERNAMA