Skip to main content

Malaysia

AISSE’27: Serangan siber sasar nadi, saraf keselamatan negara - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution berkata, ancaman siber kini semakin kompleks dan memerlukan kesiapsiagaan serta peningkatan keupayaan negara untuk menanganinya secara berkesan. - Foto Astro AWANI/Waffiy Nor Azmi
Saifuddin Nasution berkata, ancaman siber kini semakin kompleks dan memerlukan kesiapsiagaan serta peningkatan keupayaan negara untuk menanganinya secara berkesan. - Foto Astro AWANI/Waffiy Nor Azmi

Ringkasan AI

  • Menteri Dalam Negeri menegaskan ancaman siber terhadap institusi kritikal negara semakin kompleks dan memerlukan kesiapsiagaan serta peningkatan keupayaan pertahanan siber.
  • Kementerian Dalam Negeri menyokong penganjuran AISSE'27 sebagai platform perkongsian ilmu, teknologi dan kepakaran dalam menghadapi ancaman keselamatan masa depan.
  • AISSE'27 akan berlangsung Januari depan di MITEC, melibatkan 500 syarikat dari 50 negara dan dijangka menarik 25,000 pengunjung.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Serangan siber berupaya menjejaskan keselamatan negara apabila ia menyasarkan institusi kritikal yang menjadi nadi kepada Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ancaman siber kini semakin kompleks dan memerlukan kesiapsiagaan serta peningkatan keupayaan negara untuk menanganinya secara berkesan.

Menurutnya, serangan terhadap sistem percukaian, maklumat pasukan polis dan sistem pilihan raya di beberapa negara membuktikan ancaman berkenaan tidak lagi boleh dipandang ringan.

Advertisement

“Dia (ancaman siber) menyerang nadi, saraf kepada elemen keselamatan. Bayangkan kalau maklumat tentang keselamatan negara, data penduduk, data pasukan polis ataupun sistem percukaian negara terdedah.

“Itu serangan terhadap institusi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rasmi Asia International Security Summit & Expo 2027 (AISSE’27), di sini, pada Selasa.

Advertisement

Justeru, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta perkongsian kepakaran menerusi platform antarabangsa penting bagi memperkukuh pertahanan siber negara.

Katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong penganjuran AISSE’27 sebagai platform perkongsian ilmu, teknologi dan kepakaran dalam menghadapi ancaman keselamatan masa depan.

AISSE'27 yang dihoskan KDN dengan Alpine sebagai peneraju urus kendali akan berlangsung selama tiga hari pada Januari tahun depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dengan penglibatan kesemua 11 agensi di bawah kementerian itu.

Edisi kedua penganjuran itu menyasarkan penyertaan 500 syarikat dari 50 negara dan kehadiran 25,000 pengunjung, selain menyediakan ruang pameran seluas 18,000 meter persegi.

Program itu turut menampilkan 40 sesi persidangan dengan hampir 100 penceramah, hampir 4,000 peserta persidangan serta sembilan kluster strategik, selain penyertaan 150 delegasi kenamaan antarabangsa dan 700 delegasi kenamaan tempatan.

Must Watch Video

Advertisement