Skip to main content

Dunia

Elon Musk setuju bayar denda AS$1.5 juta berkaitan pembelian saham Twitter

Elon Musk appears in the courthouse to attend the trial in his lawsuit over OpenAI for-profit conversion at a federal courthouse, in Oakland, California, US, on Apr 30, 2026. Musk on May 4, 2026, agreed to pay US$1.5 million to end a government lawsuit that accused him of breaking stock market rules when he was secretly buying up shares of Twitter before his takeover of the social media platform. (File photo: Reuters/Manuel Orbegozo)
Elon Musk hadir di Mahkamah Persekutuan bagi mengikuti perbicaraan saman berkaitan penukaran OpenAI kepada entiti berasaskan keuntungan, di Oakland, California, Amerika Syarikat, pada 30 April 2026. Pada Isnin, Musk bersetuju membayar AS$1.5 juta bagi menamatkan saman kerajaan yang menuduh beliau melanggar peraturan pasaran saham ketika secara rahsia membeli saham Twitter. - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Elon Musk pada Isnin (4 Mei) bersetuju untuk membayar sejumlah kecil denda bagi menamatkan saman kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menuduh beliau melanggar peraturan pasaran saham ketika secara rahsia membeli saham Twitter sebelum pengambilalihan platform media sosial itu bernilai AS$44 bilion pada 2022.

Di bawah perjanjian tersebut, sebuah amanah milik Musk akan membayar denda AS$1.5 juta. 

Advertisement

Dokumen perjanjian itu telah difailkan di Mahkamah Persekutuan Washington dan masih memerlukan kelulusan hakim.

Kes berkenaan berpunca daripada kegagalan Musk mematuhi tempoh statutori untuk memaklumkan pihak berkuasa apabila beliau terus meningkatkan pegangan saham Twitter sebelum pengambilalihan tersebut.

Peguam Musk, Alex Spiro menyifatkan keputusan itu sebagai satu pembelaan, sambil berkata, anak guamnya “kini telah dibersihkan daripada semua isu berkaitan kelewatan pemfailan dokumen dalam pemerolehan Twitter, seperti yang kami nyatakan sejak awal.”

“Sebahagian daripada struktur amanah bersetuju untuk membayar denda kecil kerana kelewatan satu pemfailan,” kata Spiro.

Dalam e-mel kepada AFP, Spiro menegaskan, perjanjian dengan kerajaan AS itu bukan satu penyelesaian kes kerana Musk “tidak melakukan sebarang kesalahan.”

“Kes terhadap beliau telah digugurkan,” katanya.

Kes itu tertumpu kepada satu peraturan mudah iaitu apabila seorang pelabur membeli lebih lima peratus saham sesebuah syarikat tersenarai awam, undang-undang mewajibkan pendedahan dibuat dalam tempoh 10 hari.

Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) pada Januari 2025 memaklumkan bahawa Musk lewat 11 hari daripada tempoh ditetapkan ketika beliau membina pegangan dalam Twitter pada awal 2022.

Menurut SEC, kelewatan tersebut membolehkan Musk terus membeli saham pada harga rendah, sekali gus menjimatkan kira-kira AS$150 juta, namun merugikan pemegang saham lain yang menjual pegangan mereka tanpa mengetahui situasi sebenar.

Bagaimanapun, perjanjian dengan SEC itu tidak mewajibkan Musk memulangkan penjimatan berkenaan.

Amanah miliknya hanya bersetuju membayar penalti AS$1.5 juta serta berjanji tidak melanggar peraturan sama pada masa depan, tanpa mengakui sebarang salah laku.

SEC memaklumkan, ia telah meminda aduan dengan menamakan amanah Musk sebagai defendan dan memfailkan cadangan penyelesaian pada masa sama.

Sekiranya diluluskan hakim, agensi itu akan menggugurkan Musk secara peribadi daripada kes tersebut, sekali gus menamatkan tindakan undang-undang berkenaan sepenuhnya.

Saman itu difailkan hanya beberapa hari sebelum Presiden ketika itu, Joe Biden, meninggalkan jawatan.

Musk yang ketika itu merupakan sekutu rapat Presiden Donald Trump cuba menggugurkan kes berkenaan, namun, usaha itu ditolak oleh seorang hakim Persekutuan pada Februari.

Denda tersebut menyusul selepas perbicaraan berasingan di California, apabila juri pada Mac memutuskan bahawa Musk telah mengelirukan pelabur Twitter melalui hantaran yang mengelirukan semasa proses pengambilalihan penuh kontroversi pada 2022.

Ganti rugi dalam kes itu boleh mencecah kira-kira AS$2 bilion, walaupun peguam Musk memaklumkan mereka bercadang untuk mengemukakan rayuan.

Ini merupakan kali kedua Musk mencapai persetujuan dengan SEC.

Pada 2018, beliau membayar AS$20 juta dan melepaskan jawatan sebagai pengerusi Tesla selepas mendakwa di media sosial bahawa beliau mempunyai pembiayaan untuk mengambil syarikat kenderaan elektrik itu sebagai entiti persendirian - satu perjanjian yang akhirnya tidak menjadi kenyataan. - Agensi

Must Watch Video