Skip to main content

Malaysia

Indeks kebebasan media: Kedudukan di tangga ke-95 bukan satu pencapaian - CIJ

71708416834_genericwartawan.jpg
Berapa ramai wartawan yang telah disiasat, berapa kali serbuan di premis media terjadi? Semua ini menimbulkan perasaan gentar, ujar Wathshlah. - Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Skor Indeks Kebebasan Media di Malaysia di tangga ke-95 tidak boleh dianggap satu pencapaian ketika negara lain masih berdepan kawalan pemerintah.

Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Wathshlah Naidu berpandangan, Malaysia sepatutnya mencatat skor lebih tinggi.

Advertisement

“Jika dibandingkan pada tahun 2018, kita berada di tangga ke-145, sepatutnya kini kita lebih tinggi memandangkan (kawalan) yang berlaku di negara-negara lain,” katanya.

Tambahnya, terdapat lima kategori penilaian iaitu baik, memuaskan, bermasalah, sukar dan sangat serius, dengan Malaysia berada dalam kategori sukar.

Beliau berkata demikian selaku panel segmen Agenda AWANI bertajuk “Indeks Turun Naik, Kebebasan Media Kembali Dipersoal” yang disiarkan semalam.

Menurut Wathshlah, beberapa faktor memberi kesan kepada skor tersebut seperti campur tangan politik, undang-undang khusus terkait 3R (Raja, Agama dan Bangsa), tapisan kendiri (self censorship), pemilikan korporat dan intimdasi pengamal media.

Jelasnya, masih wujud undang-undang yang menghalang kebebasan media seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi.

“Berapa ramai wartawan yang telah disiasat, berapa kali serbuan di premis media terjadi? Semua ini menimbulkan perasaan gentar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Allianz Centre for Governance (ACFG), Prof Adjung Zaharom Nain berpandangan harus ada keazaman politik untuk menambah baik kebebasan media.

Menurutnya, faktor yang menghalang untuk indeks skor meningkat harus ditangani segera dengan melakukan perubahan yang nyata bukan bersifat kosmetik. 

“Kawalan negara dan kawalan korporat sama bahaya dan mempunyai implikasi buruk terhadap kebebasan dan demokrasi,” kata Zaharom

Beliau turut berpandangan menghayati indeks ini penting untuk mencerminkan keadaan yang sedia. 

Laporan Reporters Without Borders, bagi tahun ini menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-95 dunia dengan skor 52.73, sekali gus mencatatkan penurunan berbanding tahun 2025 apabila negara berada di tangga ke-88 dengan skor 56.09.

Must Watch Video