LONDON: Empat lelaki cedera manakala tujuh lagi ditahan polis susulan insiden tikaman di sebatang jalan utama di London pada Khamis, menurut laporan media Britain, lapor Xinhua.
Seorang daripada empat lelaki yang cedera berada dalam keadaan kritikal di hospital, manakala tiga yang lain menerima rawatan bagi kecederaan yang tidak mengancam nyawa, menurut Polis Metropolitan.
"Kira-kira 2.15 petang pada Khamis, 10 Sept, pegawai polis menerima panggilan susulan laporan mengenai satu pertengkaran,” kata jurucakap Scotland Yard.
Jurucakap sebuah rangkaian restoran makanan segera dilaporkan berkata bahawa satu "insiden serius" berlaku di premisnya di Bromley High Street dan pertengkaran itu bermula di lokasi berkenaan.
Jalan berkenaan kini ditutup di kedua-dua arah dari Ringers Road hingga Ethelbert Road.
-- BERNAMA-XINHUA