DUNIA
Empat maut termasuk pegawai polis New York dalam insiden tembakan di Manhattan

Polis New York meningkatkan kawalan keselamatan di lokasi kejadian tembakan di Midtown Manhattan pada Isnin. - Gambar Reuters
NEW YORK: Empat individu, termasuk seorang pegawai polis New York (NYPD), maut dalam insiden tembakan di Midtown Manhattan pada Isnin, menurut Pesuruhjaya NYPD, Jessica Tisch.
Dalam sidang medianya, Tisch memaklumkan, lima individu telah ditembak oleh seorang suspek bersenjata manakala hanya seorang mangsa terselamat,dan sedang menerima rawatan di Hospital Presbyterian New York.
Mangsa yang terkorban termasuk Didarul Islam, 36, seorang pegawai NYPD yang merupakan pendatang dari Bangladesh.
Islam yang juga bapa kepada dua anak, sedang menantikan kelahiran anak ketiganya ketika ini.Dia turut dihantar ke Hospital Presbyterian New York untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia.
Dua lagi mangsa, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, dibawa ke Hospital Bellevue namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Seorang lagi mangsa wanita ditemui maut di tingkat 33, bangunan 345 Park Avenue, jelas Tisch.
Selain itu, empat individu lain mengalami kecederaan ringan ketika cuba melarikan diri dari lokasi kejadian dan sedang menerima rawatan lanjut.
Identiti mangsa awam masih belum didedahkan sementara pihak berkuasa memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga masing-masing.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan penuh berhubung kejadian tragik itu yang menggemparkan antara kawasan paling sibuk di kota New York. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami