KAJANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang peniaga kerana gagal hadir untuk berdepan pertuduhan membuat hantaran komunikasi berbaur ancaman melibatkan Institusi Diraja di akaun Facebook miliknya pada Jun lepas.
Hakim Khainur Aleeza Ismail mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki berumur 45 tahun itu kerana mengelak daripada menerima saman daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Terdahulu, Faten Hadni berkata orang kena saman (OKS) terbabit enggan memberikan kerjasama termasuk tidak menjawab panggilan telefon daripada pihak MCMC serta enggan keluar rumah untuk menerima saman tersebut.
"Berdasarkan maklumat telekomunikasi, pegawai operasi telah pergi ke rumah OKS di Ampang, Selangor setelah mendapati bahawa OKS berada di kawasan alamat rumahnya.
"Pihak kami percaya OKS berada di dalam rumahnya memandangkan enjin motosikal yang berada di premis masih dalam keadaan panas, namun OKS enggan keluar dari rumah dan enggan menjawab panggilan bagi memberikan kerjasama," katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 18 Dis ini.
Peniaga itu sepatutnya berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (2) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
-- BERNAMA