NARATHIWAT: Polis Thailand mengesahkan empat mayat lelaki dipercayai mangsa tembak ditemukan di dua lokasi di Narathiwat, selatan Thailand.

Ketua Polis Daerah Weng Kolonel Chalong Leknoi berkata keempat-empat mayat mempunyai beberapa kesan tembakan.

Beliau berkata tiga mayat lelaki ditemukan dalam but sebuah kereta di sebuah tasik di Kampung Cherang, Weng, Narathiwat kira-kira 6 petang (waktu tempatan) Selasa manakala satu mayat lelaki dengan kesan tembakan dijumpai orang awam kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan) Rabu.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua kes ini mempunyai kaitan.

"Polis telah mengenal pasti 10 suspek yang terlibat dalam kedua-dua kes ini," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Chalong berkata polis akan mempergiat siasatan termasuk pemeriksaan rakaman CCTV untuk menjejaki suspek yang terlibat.

"Bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti keempat-empat mayat akan dijalankan Hospital Songklanagarind," katanya.

Motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Chalong berkata orang awam membuat laporan polis selepas menjumpai sebuah kereta di dalam tasik kira-kira 6 petang (waktu tempatan) semalam.

"Hasil pemeriksaan polis menemukan tiga mayat lelaki dalam but kereta itu. Ketiga-tiga mayat tanpa baju dengan kesan tembakan dipercayai telah meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu.

"Siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa dibunuh dan mayat mereka disumbat dalam but kereta sebelum ditenggelamkan ke dalam tasik," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa berusia antara 19 dan 38 tahun berasal dari Sungai Kolok dan Sukhirin, Narathiwat mempunyai kesan tembakan di bahagian dada dan kepala.

"Siasatan juga mendapati mangsa yang berusia 27 dan 38 tahun terlibat dengan sindiket dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau," katanya.

Dalam insiden kedua, Chalong berkata orang awam menemukan mayat lelaki dengan kesan tembakan tersangkut di celah batu di sungai berdekatan Kampung Air Pasir di Daerah Weng, Narathiwat kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan) semalam.

"Lelaki warga tempatan berusia 35 tahun telah dilaporkan hilang empat hari yang lalu," katanya.

-- BERNAMA