DUNIA
Empat orang disahkan maut dalam kejadian helikopter terhempas di Papua, Indonesia

Helikopter itu pada Rabu dilaporkan terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Ilaga ke Timika. - Gambar Timika Basarnas
JAKARTA: Empat orang disahkan meninggal dunia dalam insiden sebuah helikopter terhempas di wilayah Papua, Indonesia, kata agensi mencari dan menyelamat negara itu.
Helikopter itu pada Rabu dilaporkan terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Ilaga ke Timika.
Terdahulu, helikopter jenis AS350 B3 yang dikendalikan oleh PT Intan Angkasa dengan nombor pendaftaran PK-IWS itu berlepas dari Ilaga pada 11.30 pagi waktu tempatan pada Rabu dan dijadualkan tiba di Timika sejam kemudian.
"Di dalamnya terdapat dua kru dan dua penumpang yang sedang menghantar barangan keperluan kepada komuniti terpencil di wilayah itu," kata Ketua Basarnas Mohammad Syafii dalam satu kenyataan.Beliau berkata sebuah lagi helikopter syarikat itu, PK-IWD, telah berlepas kira-kira 10 minit lebih awal melalui laluan sama dan sempat berhubung menerusi radio dengan PK-IWS sebelum cuaca buruk mengganggu komunikasi.
"PK-IWD mendarat dengan selamat di Timika dan kemudiannya berpatah balik melalui laluan sama untuk membantu dalam operasi pencarian.
"Kru penerbangan itu akhirnya menemukan bangkai PK-IWS di cerun gunung yang curam pada ketinggian melebihi 3,000 meter," jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami