Skip to main content

Malaysia

KKM perlu laksana penempatan kecemasan, tawar insentif khas

Azrul berpandangan, situasi petugas kesihatan yang bekerja dalam tempoh panjang tanpa rehat mencukupi tidak seharusnya dianggap sebagai sebahagian daripada budaya kerja dalam perkhidmatan kesihatan awam. - Gambar fail/Bernama
Azrul berpandangan, situasi petugas kesihatan yang bekerja dalam tempoh panjang tanpa rehat mencukupi tidak seharusnya dianggap sebagai sebahagian daripada budaya kerja dalam perkhidmatan kesihatan awam. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil langkah segera menangani kekurangan 245 pegawai perubatan di Sabah, susulan isu kebimbangan doktor yang terpaksa bekerja sehingga 48 hingga 72 jam tanpa rehat mencukupi.

Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kebajikan petugas kesihatan, malah berpotensi mengancam keselamatan pesakit serta kualiti penyampaian perkhidmatan perubatan di negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berpandangan, situasi itu tidak seharusnya dianggap sebagai sebahagian daripada budaya kerja dalam perkhidmatan kesihatan awam.

Advertisement

Menurutnya, doktor tidak sepatutnya dipaksa bekerja dalam tempoh terlalu panjang semata-mata bagi memastikan operasi hospital terus berjalan.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai kegagalan sistem yang bukan sahaja membahayakan pesakit, malah boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental doktor.

Advertisement

"Keadaan ini amat serius dan tidak boleh diterima. Doktor tidak sepatutnya dipaksa bekerja sehingga 72 jam untuk memastikan hospital terus beroperasi.

"Ini bukan lagi soal pengorbanan, tetapi kegagalan sistem yang membahayakan keselamatan pesakit dan kebajikan doktor. Kita tidak boleh terus menormalisasikan keletihan melampau sebagai sebahagian daripada budaya kerja perkhidmatan kesihatan awam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Justeru, KKM perlu melaksanakan penempatan kecemasan pegawai perubatan dari Semenanjung ke hospital di Sabah yang paling terjejas akibat kekurangan tenaga kerja.

Langkah itu perlu disusuli pemberian insentif khas termasuk elaun penempatan, kemudahan penginapan dan bantuan perpindahan bagi menggalakkan lebih ramai doktor berkhidmat di negeri berkenaan.

KKM juga perlu mempercepatkan pengambilan sementara doktor berkelayakan serta melaksanakan audit menyeluruh terhadap kekosongan jawatan dan beban tugas di setiap hospital.

"Ini bukan sekadar kekurangan doktor, tetapi kegagalan perancangan dan pengurusan sumber manusia. Pemindahan doktor tanpa memastikan pengganti benar-benar melaporkan diri menunjukkan kelemahan serius sistem penempatan KKM. Kejayaan tidak boleh diukur berdasarkan jumlah jawatan yang ditawarkan, tetapi jumlah doktor yang benar-benar bertugas dan memenuhi keperluan perkhidmatan," katanya.

Katanya, sistem penempatan perlu ditambah baik bagi memastikan setiap pertukaran atau pemindahan doktor disusuli pengganti yang benar-benar melaporkan diri dan memulakan tugas.

Beliau turut berpandangan, keletihan melampau boleh menjejaskan tumpuan serta pertimbangan klinikal doktor, sekali gus meningkatkan risiko kesilapan diagnosis, pemberian ubat dan kelewatan rawatan.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi mereformasi sistem pengambilan, penempatan, imbuhan dan pembangunan kerjaya petugas kesihatan.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak juga perlu diberikan autonomi lebih besar dalam pengurusan tenaga kerja kesihatan, termasuk perancangan keperluan pegawai perubatan berdasarkan situasi dan keperluan setempat.

Media melaporkan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menempatkan doktor tambahan dari Semenanjung bagi menangani masalah kekurangan pegawai perubatan yang kritikal di Hospital Ranau dan fasiliti kesihatan di negeri itu.

Pengerusinya Dr Brandon Patrick Senagang berkata, campur tangan dalam perkara itu amat diperlukan susulan laporan doktor bekerja untuk tempoh panjang tanpa rehat mencukupi yang mencetuskan kebimbangan serius terhadap kebajikan mereka dan kelangsungan perkhidmatan kesihatan.

Must Watch Video

Advertisement