QUETTA: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 12 lagi cedera selepas bom meletup di sebuah hotel mewah Pakistan pada Rabu.

Menurut polis, letupan berlaku di tempat letak kereta Hotel Serena di Quetta, lapor Skynews.com.

"Satu letupan telah menggegarkan kawasan parkir hotel Serena.

"Pegawai kami sedang berusaha menentukan jenis bom dan peranti yang digunakan," kata jurucakap polis Nasir Malik.

Rakaman video tular menunjukkan bangunan dan kereta berdekatan terbakar.

Mangsa yang cedera, beberapa daripadanya kritikal, dibawa ke hospital berdekatan.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, namun wilayah Balochistan telah lama bergolak dek serangan kumpulan pemisah yang mahukan kemerdekaan.

Selain itu, kumpulan militan Taliban juga beroperasi di kawasan itu.