MELAKA: Kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) sebagai kerangka tindakan nasional lima tahun bagi memantapkan pengurusan kos sara hidup secara menyeluruh ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Peluncuran NCLAP30 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Program Sentuhan Kasih MADANI di Pekarangan Stadium Hang Jebat, Melaka.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan tindakan tersebut menggariskan sebanyak 35 strategi dan 429 ikhtiar sara hidup yang digerakkan merentasi pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.
Menurut beliau, NCLAP30 digubal sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI dan merupakan strategi utama yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi pendekatan Whole-of-Nation.
“Visi NCLAP30 adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat, manakala misinya memberi keutamaan kepada dua perkara iaitu meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas.
“Sebab kita tahu isu yang kita warisi sekian lama sebenarnya adalah kadar upah ataupun gaji. Pergerakan kadar upah dan gaji itu adalah tidak setara dengan pergerakan inflasi daripada setiap tahun," katanya pada sidang media pelancaran NCLAP30 di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat di sini pada Sabtu.
Beliau menambah, komitmen kerajaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat telah dibuktikan menerusi pelarasan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula Disember 2024 serta semakan kadar gaji minimum secara bersasar.
Mengulas lanjut, 429 ikhtiar di bawah NCLAP30 dipecahkan menerusi lapan kluster strategik iaitu kluster pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan kluster umum.
“NCLAP30 ini merupakan sebuah dokumen dinamik, living document yang akan kita tambah baik dari semasa ke semasa termasuklah pengukuhan kepada strategi dan juga ikhtiar-ikhtiar sara hidup yang akan ditambah baik mengambil kira kepada tuntutan dan juga cabaran semasa.
“Contohnya cabaran domestik, begitu juga cabaran ketidaktentuan konflik geopolitik dan juga geoekonomi," jelas Armizan.
Dari segi tadbir urus, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dengan KPDN sebagai sekretariat telah diberi mandat baharu susulan keputusan Mesyuarat NACCOL Bil 2/2026 pada 29 September lalu untuk memperkasakan peranan majlis berkenaan.
NACCOL kini bertindak sebagai platform rasmi untuk meneliti dan memantau pelaksanaan kesemua 429 ikhtiar sara hidup merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan keberhasilan yang optimum.