NEW YORK: Seorang lelaki bersenjata berusia 39 tahun membunuh lima orang sebelum menembak mati dirinya sendiri dalam satu siri pembunuhan di Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, menurut polis negeri.
Polis dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kes tembakan di sebuah kediaman di Daerah Missaukee pada kira-kira 11.40 pagi waktu tempatan (1540 GMT).
Setibanya di lokasi, polis menemukan tiga mangsa telah meninggal dunia manakala seorang lagi mengalami kecederaan kritikal.
Suspek, Chad Hickman melarikan diri dari tempat kejadian sebelum pihak berkuasa tiba, sekali gus mencetuskan operasi pemburuan secara besar-besaran, kata polis.
Semasa operasi pencarian dijalankan, polis menemukan mangsa keempat yang turut maut di sebuah rumah berasingan.
Kenderaan Hickman kemudian ditemukan berhampiran Tasik Whitlock di Perbandaran Caldwell, membawa kepada penemuan mayat suspek serta seorang lagi mangsa yang maut di kawasan hutan berhampiran, kata polis.
Motif pembunuhan masih belum dapat dipastikan dan pihak berkuasa mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
-- BERNAMA-XINHUA