KUALA LUMPUR: Impian arwah bapa yang ingin melihat dia bergelar anggota tentera menjadi pembakar semangat buat Nurull Danieyla Aqsya Mohamad Fauz menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, sekali gus dinobatkan sebagai Wira Muda Ulung.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, berkata meskipun pada awalnya berasa gentar untuk menjalani latihan ketenteraan selama 45 hari, dia nekad menyahut cabaran itu kerana mahu membuktikan kemampuan diri dalam bidang yang diminatinya.
“Saya minat menjadi tentera kerana ia impian arwah ayah saya. Saya juga kuat mental dan fizikal serta yakin mampu menjadi tentera yang berdisiplin,” katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4 2026 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.
Nurull Danieyla Aqsya, 18, berkata bagi merealisasikan impian itu dia berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sebelum memohon menyertai pasukan tentera.
Sepanjang 45 hari menjalani latihan, katanya pelbagai modul ketenteraan perlu diikuti termasuk aktiviti abseiling, rappelling dan latihan menembak, yang menjadi pengalaman berharga dan sukar dilupakan.
“Yang paling saya suka ialah latihan menembak sebab itu kali pertama saya memegang senjata dan ia merupakan pengalaman baharu untuk saya yang akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya.
Selain membina ketahanan mental dan fizikal, pengalaman menyertai PLKN turut membuka ruang kepada Nurull Danieyla Aqsya untuk mengenali serta berkawan dengan peserta daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Baginya, pengalaman bergaul dengan rakan berbangsa Cina amat bermakna kerana sebelum ini dia tidak pernah berpeluang mengenali secara dekat, termasuk budaya dan perayaan yang mereka raikan.
“Sebelum ini saya tak pernah ada kawan bangsa Cina. Datang sini baru dapat berbual dan dapat mengenali budaya mereka lebih mendalam,” katanya.
Berdasarkan pengalaman itu, Nurull Danieyla Aqsya berharap golongan muda yang masih ragu-ragu untuk menyertai PLKN tidak melepaskan peluang berkenaan kerana pelbagai ilmu dan pengalaman baharu dapat diperoleh sepanjang menjalani latihan.
“Saranan saya, memang kena masuk dulu baru rasa apa yang kita dapat. Di sini kita belajar banyak benda dan dapat timba banyak ilmu pengetahuan. Kepada mereka yang ragu-ragu untuk sertai PLKN, jangan takut, jangan teragak-agak, kena datang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata PLKN bukan diwujudkan sebagai laluan khusus untuk peserta melanjutkan pengajian ke universiti, sebaliknya memberi peluang kepada golongan belia yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian tinggi untuk mendapatkan manfaat daripada latihan berkenaan.
Beliau berkata peserta yang layak memasuki universiti boleh meneruskan pengajian, manakala mereka yang tidak mendapat peluang berkenaan akan disalurkan kepada laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran.
"Selepas latihan ini, mereka yang layak ke universiti akan terus memasuki universiti, manakala yang tidak berpeluang akan kita salurkan untuk menyertai TVET supaya mereka dapat menambah kemahiran," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Mohamed Khaled berkata kementeriannya turut berusaha mendapatkan lebih banyak tempat dalam program TVET di universiti bagi membolehkan peserta memperoleh sijil serta kemahiran yang dapat dimanfaatkan untuk masa depan mereka.
-- BERNAMA